Intel hari ini telah mengumumkan lokasi ladang suria terbesarnya di luar Amerika Syarikat. Menariknya, Malaysia merupakan negara yang menempatkan ladang suria terbesar syarikat pemprosesan mikro tersebut.
Mei tahun lalu, Intel menyatakan pihaknya mensasarkan kesemua fasilitinya di seluruh dunia akan menggunakan tenaga boleh diperbaharui sepenuhnya menjelang 2030. Sasaran ini merupakan sebahagian dari pelan jangka panjang tanggungjawab korporatnya, RISE 2030.
Bersama-sama NEFIN, ladang suria berkapasiti 4.1MW akan dipasangkan di seluruh kampus Intel di Pulau Pinang dan Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah. Pembinaan ladang suria tersebut telah dimulakan sejak tahun lalu dan mula beroperasi pada Januari 2021.
Seluas 50,208 kaki persegi panel suria telah dipasangkan di atas bumbung bangunan kedua-dua buah fasiliti Intel di Malaysia. Panel suria tambahan turut dipasangkan sebagai bumbung untuk 900 ruang meletak kereta fasiliti.
Intel turut memaklumkan ladang suria tersebut mampu menjanakan elektrik sekitar 6,000MWh meliputi lebih kurang 15% kapasiti kuasa suria fasiliti. Ladang suria berkenaan sudah pun mula digunakan dengan sebahagiannya digunakan pada waktu puncak. Bekalan air panas kegunaan fasiliti pula kini turut digunakan melalui sistem termal suria.













