Infinix secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran telefon pintar peringkat menengah baharunya, Zero 40 di Malaysia pada 29 Ogos ini. Tidak banyak maklumat yang didedahkan berkenaan telefon pintar ini melainkan beberapa poster acahan reka bentuknya.

Bagaimanapun, maklumat mengenainya telah pun tertiris pada awal minggu lepas. Harga telefon pintar baharu ini juga dikatakan telah diketahui iaitu RM1,699.

Infinix Zero 40 mempunyai paparan melengkung AMOLED 6.78-inci dengan kadar penyegaran smeula 144Hz. Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 8200 Ultimate yang bergandingan dengan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB. Tidak dapat dipastikan adakah Infinix akan menawarkan lebih dari satu konfigurasi, namun apa yang pasti ia akan hadir dengan tiga warna pilihan.

Untuk pengimejan pula, telefon pintar ini hadir dengan kamera utama 108MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera 2MP bersama-sama kamera hadapan 50MP dengan autofokus. Ia dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 45W dan nirwayar 15W. Dari segi ketahanan, telefon pintar ini mempunyai penarafan kerintangan air dan debu IP54.

Tinggalkan komentar