Telefon pintar yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 4,000 mAh, Huawei Y7 Prime telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM999. Selain dari baterinya yang memiliki kapasiti besar, ia turut diberikan kemasan kerangka logam, seterusnya menjadikan telefon pintar ini amat munasabah dengan harga yang ditawarkannya.

Ditambah dengan penggunaan chipset Qualcomm Snapdragon 435, kadar penggunaan tenaga bateri yang diperlukan oleh Huawei Y7 Prime ini tidaklah terlalu besar. Justeru, menjadikan tempoh jam penggunaan bateri telefon pintar ini dapat dipertingkatkan lagi.

Lain-lain spesifikasi untuk telefon pintar harga munasabah ini termasuklah paparan 5.5-inci 720p, RAM 3GB, storan dalaman 32GB, kad slot mikroSD – yang menyokong kad memori sehingga 128GB dan penderia cap jari pada bahagian belakang. Untuk kameranya pula, Y7 Prime hadir dengan kamera belakang 12MP dan 8MP untuk kamera hadapan.

Huawei Y7 Prime hadir dengan sistem pengoperasi EMUI 5.1 yang berasaskan Android 7.0 Nougat dan didatangkan dengan dua pilihan warna; Hitam dan Emas khusus untuk pasaran Malaysia. Telefon pintar ini bakal menemui pengguna di Malaysia mulai 7 Julai di kesemua rangkaian Huawei Experience Stores dan Huawei Display Zones dengan harga saranan RM999.

 

Tinggalkan komentar