Huawei mengumumkan akan mula mengenakan bayaran untuk mengakses ke teknologi 5G yang telah dipatenkannya. Tindakan ini bakal memberi kesan kepada pengeluar telefon pintar lain seperti Apple dan Samsung.

Gergasi teknologi dari China ini sedang berusaha menambah sumber pendapatan berikutan sekatan yang telah dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Menurut Huawei, bayaran yang dikenakan oleh pihaknya adalah “berpatutan” pada kadar maksimum US$2.50 (~RM10.29) bagi setiap telefon yang menggunakan teknologinya.

Kadar tersebut dilihat agak munasabah jika dibandingkan dengan Nokia yang mengenakan kadar €3 (~RM14.70) bagi setiap peranti. Manakala Ericsson pula menetapkan pada kadar US$2.50 hingga US$5 (~RM20.59) bagi setiap peranti yang menggunakan teknologi 5G masing-masing. Selain itu, pengeluar cip Qualcomm pula meminta Apple membayar sebanyak US$7.50 (~RM30.88) bagi setiap iPhone.

Huawei dijangka mampu menjana pendapatan antara US$1.2 billion (~RM4.9 billion) hingga US$1.3 billion (~RM5.4 billion) dari lesen patennya antara 2019 hingga 2021. Angka ini dilihat bakal meningkat seiring dengan perubahan pesat teknologi 5G dunia.

Tinggalkan komentar