Lanjutan daripada iklan acah oleh HONOR pada awal bulan ini, siri HONOR 400 kini secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia. Ia didatangkan dengan buah model yang terdiri daripada HONOR 400 dan HONOR 400 Pro.
Untuk HONOR 400, telefon pintar ini dilengkapkan dengan paparan AMOLED 6.55-inci beresolusi 2,736 x 1,264 piksel. Telefon pintar dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 dan bateri berkapasiti 6,000 mAh ini juga menyokong pengecasan 80W.
Di belakangnya pula disediakan kombo kamera utama 200MP dan kamera bersudut lebar 12MP. Manakala di hadapannya pula terdapat kamera 50MP yang ditempatkan pada takuk berbentuk pil di atasnya. Telefon pintar ini juga mempunyai penarafan IP66.
Seterusnya HONOR 400 Pro mempunyai paparan melengkung AMOLED 6.7-inci beresolusi 2,800 x 1,280 piksel dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dan bateri berkapasiti 6,000mAh. Ia didatangkan dengan sokongan pengecasan berwayar 100W dan nirwayar 50W.
Dari segi fotografinya, ia menawarkan spesifikasi yang sama dengan model standard, cuma dibezakan dengan penambahan kamera telefoto 50MP. Berbanding model standard, model Pro ini mempunyai penarafan IP69.
Siri HONOR 400 ini dijalankan menggunakan antaramuka MagicOS 9.0 berasaskan Android 15. Kedua-dua model ini juga menggunakan fungsi berasaskan AI berkaitan foto dan tangkapan video seperti AI Image to Video. Untuk kegunaan yang lebih praktikal pula, ciri-ciri berasaskan AI seperti penulisan, terjemahan, sari kata serta pengesanan AI Deepfake turut disediakan.
HONOR 400 dan HONOR 400 Pro masing-masing mempunyai pilihan konfigurasi RAM 12GB dengan hanya model Pro sahaja yang ditawarkan dalam satu konfigurasi sahaja. Anda boleh mendapatkan HONOR 400 dengan pilihan storan 256GB pada harga RM1,899 dan pilihan storan 512GB pada harga RM2,199.
Manakala model Pro yang menawarkan kapasiti storan 512GB sahaja dijual pada harga RM2,699. Bagi anda yang tempajan di sepanjang tempoh pra-tempahan dibuka, anda ditawarkan dengan FUJIFILM instax mini LiPlay secara percuma.