Honda telah memperkenalkan logo ‘H’ baharu untuk kenderaan elektrik keluarannya yang akan datang. Pengumuman tersebut di buat di dalam acara Consumer Electronics Show (CES) 2024 yang sedang berlangsung kini.
Digunakan pada dua buah model konsep ‘0 Series’ di dalam acara tersebut, logo baharu ini diinspirasikan dari logo ‘H’ pertama yang digunakan pada awal era 60’an. Ia pertama kali digunakan pada trak pikap T360 keluaran tahun 1963.
Pengeluar automotif dari Jepun ini menyatakan rekaan ini melambangkan dua tangan yang diangkat ke atas dan menunjukkan komitmen Honda memperluaskan keupayaan mobiliti selain terus memenuhi kehendak pengguna.
0 Series merupakan siri kenderaan elektrik global baharu dan model-model dari siri berkenaan dijangka akan mula hadir pada tahun 2026. Terdapat dua model konsep yang diperkenalkan di dalam CES 2024 iaitu Space Hub dan Saloon yang turut tampil dengan logo rekaan baharu tersebut.
Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan, logo H baharu ini juga akan digunakan pada kenderaan elektrik Honda baharu kelak dan tidak terhad pada 0 Series sahaja. Tidak dapat dipastikan sama ada logo tersebut akan digunakan pada model kenderaan elektrik sedia ada.