Peminat dunia fantasi Harry Potter kini berpeluang memiliki salah satu permainan video terlaris tahun 2023, Hogwarts Legacy secara percuma di platform PC.
Pengumuman mengejutkan ini dibuat oleh pengacara The Game Awards 2025, Geoff Keighley, semasa acara anugerah berprestij tersebut berlangsung pada Jumaat lalu.
Tawaran istimewa ini tersedia secara eksklusif di Epic Games Store bermula sekarang sehingga 18 Disember 2025. Para pemain boleh menebus dan menyimpan permainan tersebut buat selama-lamanya tanpa sebarang kos.
Pemberian percuma ini merupakan sebahagian daripada promosi eksklusif Epic Games yang sering bekerjasama dengan acara-acara besar industri permainan video.
Hogwarts Legacy, yang dibangunkan oleh Avalanche Software dan diterbitkan oleh Warner Bros. Games, membawa pemain meneroka dunia Harry Potter pada era 1800-an sebagai pelajar tahun kelima di Sekolah Sihir Hogwarts.
Permainan ini boleh ditebus terus melalui pelancar Epic Games atau laman web rasmi mereka. Ini merupakan kali pertama judul bertaraf AAA (bajet besar) seawal ini diberikan secara percuma di platform tersebut sebagai “Mystery Game” sempena musim cuti.
Cara mendapatkan Hogwart Legacy percuma
Berikut adalah langkah mudah untuk menebus permainan ini:
- Log masuk ke akaun Epic Games anda melalui pelancar desktop atau pelayar web.
- Pergi ke bahagian ‘Store’ dan tatal ke bawah ke hab ‘Free Games’.
- Klik pada Hogwarts Legacy dan tekan butang ‘Get’.
- Selesaikan transaksi RM0.00 untuk menambahkannya ke dalam pustaka anda.
Ciri-ciri utama Hogwarts Legacy termasuk:
- Dunia Terbuka Luas: Terokai Hogwarts, Hogsmeade, Forbidden Forest, dan kawasan sekitarnya.
- Penyesuaian Watak: Cipta ahli sihir anda sendiri, pilih rumah (House), dan bangunkan gaya pertempuran unik.
- Sistem RPG Mendalam: Pelajari mantera, bancuh posyen, dan jinakkan haiwan ajaib untuk menentang ahli sihir jahat dan pemberontakan goblin.
Tawaran ini akan berakhir pada 18 Disember 2025, jam 11:00 malam (waktu tempatan bergantung kepada zon masa), sebelum digantikan dengan judul misteri seterusnya.
Pengguna PC dinasihatkan untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk merasai pengalaman magis Hogwarts Legacy yang telah memenangi hati jutaan pemain di seluruh dunia.












