Dilihat sebagai salah satu usaha menggalakkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), platform penstriman video, HBO Go menawarkan tontonan percuma untuk rancangan terpilih bermula dari 15 April 2020.
Antara kandungan yang percuma untuk ditonton termasuklah The Sopranos, The Wire, Barry, dan Miss Sherlock. Bagi anda yang gemarkan rancangan dokumentari, rancangan McMillions dan The Inventor: Out For Blood in Silicon Valley juga ditawarkan secara percuma buat masa ini. Malah siri rancangan Folklore, yang mengisahkan pelbagai cerita-cerita lagenda dan mistik dari negara-negara Asia termasuk Malaysia juga boleh ditonton menerusi tawaran ini.
Pengguna yang berminat juga tidak perlu untuk mendaftar atau melanggan ke perkhidmatan ini bagi menikmati rancangan-rancangan yang disebutkan tadi. Boleh ditonton sama ada melalui laman web atau pada peranti mudah alih, pengguna boleh melangkau pendaftaran masuk dengan menekan butang “Skip” pada penjuru sebelah kanan atas skrin.
Bagaimanapun, platform tontonan ini hanya menawarkan musim pertama bagi setiap rancangan yang ditawarkan sebagai promosi tontonan percuma ini. Rancangan-rancangan popular HBO seperti Game of Thrones, Chernobyl dan Watchmen tidak disenaraikan di dalam promosi ini.