Samsung telah mengesahkan pelancaran Galaxy A35 5G dan Galaxy A55 5G di pasaran India pada 11 Mac ini. Bagaimanapun, kedua-dua model telefon pintar baharu berkenaan telah pun mula dijual di Jerman dengan laman web jualan dalam talian Otto turut menyenaraikan harganya.
Menurut laporan oleh Fonearena yang memetik senarai jualan dari Otto, Galaxy A55 5G berharga €479 (lebih kurang RM2,455) untuk konfigurasi 8GB + 128GB dan €529 (lebih kurang RM2,712) untuk konfigurasi 8GB + 256GB.
Manakala Galaxy A35 5G pula disenaraikan dengan harga €379 (lebih kurang RM1,943) untuk konfigurasi 8GB + 128GB dan €449 (lebih kurang RM2,302) untuk konfigurasi 8GB + 256GB.
Kedua-dua model telefon pintar terkini keluaran Samsung berkenaan boleh didapati dengan pilihan warna Ice Blue, Lemon, Lilac dan Navy Blue. Laman web jualan di Jerman berkenaan juga berkongsikan spesifikasi siri Galaxy A baharu tersebut yang berkemungkinan sama dengan yang akan dilancarkan di India dan juga Malaysia kelak.
Spesifikasi
Galaxy A35 dan Galaxy A55 5G dijangka menampilkan panel Super AMOLED Full HD+ 6.6-inci beresolusi 2,340 x 1,080 piksel dengan sokongan kadar penyegaran semula sehingga 120Hz.
Ia juga dijangka akan menggunakan antaramuka One UI 6 yang berasaskan sistem operasi Android 14. Sama seperti model-model baharu Samsung kebelakangan ini, telefon pintar baharu ini juga dijangka ditawarkan dengan kemaskini sistem operasi selama 4 tahun dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun.
Pemprosesannya pula, Galaxy A55 5G mungkin dikuasakan oleh Exynos 1480 bersama-sama GPU AMD Xclipse 530. Manakala A35 5G pula mungkin menggunakan pemprosesan Exynos 1380 dengan GPU Mali-G68.
Galaxy A35 turut dikatakan akan menampilkan tri kamera dengan kamera utama 50MP (OIS), kamera ultra lebar 8MP dan kmaera makro 5MP. Di hadapannya pula akan menyediakan kamera 13MP.
Model yang lebih mahal di antara kedua-duanya pula menampilkan tri-kamera dengan kamera utama 50MP (OIS). Manakala kamera ultra-lebarnya pula menampilkan kamera 12MP. Namun, kamera makronya pula dikatakan hanya hadir dengan kamera makro 2MP sahaja. Pun begitu, kamera hadapan Galaxy A55 5G mempunyai sedikit kelebihan dari bilangan pikselnya menerusi sensor 32MP.













