Samsung dalam beberapa tahun kebelakangan ini dilihat mengekalkan penamaan siri Galaxy S saban tahun dengan model standard, Plus dan Ultra. Baru-baru ini terdapat pentiris maklumat yang mendakwa terdapat perubahan pada penamaan tersebut di masa hadapan. Khabarnya, model-model lain kecuali model standard akan menggunakan nama yang lain.

Yogesh Brar berkongsikan di X (dahulu dikenali sebagai Twitter) mengenai kemungkinan model Ultra untuk siri Galaxy S25 akan digantikan dengan nama Note. Manakala model Plus pula akan dinamakan sebagai Pro.

Bagaimanapun, menerusi jawapan balas kepada komentar di hantaran yang sama, beliau mendakwa “penamaan S25U telah pun ditetapkan dan memandangkan perbincangan penjenamaan semula masih lagi berjalan, mungkin akan mempertimbangkannya pada S26 nanti,”

Dalam pada masa yang sama, penamaan baharu ini kelihatan macam masuk akal juga walaupun penggunaan nama Note ini sudah agak lama ditinggalkan. Samsung Galaxy S22 Ultra merupakan model Galaxy S pertama yang mengintegrasikan slot S-Pen sejak penamatan siri Note, mungkin wajar nama tersebut kembali digunakan. Manakala perubahan nama yang dijangkakan, dari Plus ke Pro pula mungkin mengambil kira model ini lebih besar dan mempunyai spesifikasi dalaman yang lebih baik dari model standard.

Pun begitu, seperti biasa maklumat-maklumat yang tertiris ini masih lagi di peringkat desas-desus semata-mata. Tambahan pula dengan rekod-rekod maklumat yang ditiriskan oleh Yogesh Brar ini adakalanya tak boleh pakai.

Tinggalkan komentar