Dua peranti Samsung Galaxy iaitu Note 10 Plus dan A50 kini telah menerima kemaskini rasmi One UI dan Android 10 di Malaysia. Note 10 Plus menerima naik taraf One UI 2.1 serta sebilangan peningkatan, manakala A50 pula menerima kemaskini One UI 2 dan Android 10.
Sebelum anda mula memuat turun kemaskini terbabit, anda perlu maklum bahawa saiz fail kemaskini berkenaan adalah lebih dari 1.7GB. Justeru, anda perlu memastikan kuota data anda mencukupi atau bersambung dengan Wi-Fi talian tetap jalur lebar rumah anda.
Seperti yang dinyatakan sebelumnya, One UI Galaxy Note 10 Plus boleh dikemaskini ke versi 2.1 dan turut menyertakan kemaskini keselamatan, AR Emoji, Gallery dan sebagainya. Selain itu, kamera telefon pintar berkenaan juga kini turut memuatkan menu baru, mod baru, tapisan baru dan rakaman video FHD/UHD 60fps menerusi kamera swafotonya.
Manakala Samsung Galaxy A50 pula menerima naik taraf ke Android 10 menerusi One UI 2. Menampilkan peningkatan seperti animasi skrin yang lebih lancar, susun atur yang ditambah baik, kibasan tangan skrin penuh, UI kamera dikemaskini serta banyak lagi. Kemaskini ini juga turut menyertakan kemaskini keselamatan 1 Mac 2020.













