Sebuah foto yang dikatakan menunjukkan peranti Samsung Galaxy Z Flip 5 telah disebarkan di internet menerusi pengguna Twitter, Revegus (@Tech_Reve). Tidak dapat dipastikan bila atau di mana imej ini diambil, serta bagaimana pentiris foto ini menerimanya.
Berdasarkan foto tersebut, telefon pintar boleh lipat berkenaan ditunjukkan datang bersama-sama pelapik pelindung yang menyukarkan rekaan keseluruhannya dapat dilihat.
Bagaimanapun, ciri-ciri utamanya, seperti rekaan skrin luaran baharu yang lebih besar jelas kelihatan. Ini seterusnya mengesahkan maklumat tertiris mengenai telefon pintar tersebut oleh OnLeaks dan juga IceUniverse yang mengatakan rekaannya amat berbeza dengan Galaxy Z Flip 4 yang dilancarkan pada tahun lepas.
https://twitter.com/Tech_Reve/status/1672838362607271936?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1672838362607271936%7Ctwgr%5E61832e72f840d70bd06e7b364c0cbdb41f7f5dbc%7Ctwcon%5Es1_&ref_url=https%3A%2F%2Fwww.lowyat.net%2F2023%2F302724%2Fsamsung-galaxy-z-flip5-in-the-wild%2F
Turut kelihatan dwi-kamera dan lampu flash ditempatkan pada bahagian bawah skrin luaran tersebut, serta butang kunci skrin dan kawalan bunyi pada sebelah sisi kanannya. Selain itu, foto berkenaan juga menunjukkan skrin luaran Galaxy Z Flip berkenaan memaparkan aplikasi jam, seterusnya membuktikan kemugnkinan terdapat sokongan Always-On.
Tidak banyak yang diketahui daripada maklumat tertiris baharu tersebut memandangkan hanya sekeping foto berkenaan sahaja yang dikongsikan. Sungguhpun rekaan skrin luarannya sama dengan imej pengolokan yang tertiris, rekaan skrin dalamannya masih lagi menjadi tanya setakat ini.
Galaxy Z Flip 5 dijangka akan diperkenalkan bersama-sama Galaxy Z Fold 5 di dalam acara Galaxy Unpacked kedua dalam tahun ini yang akan berlangsung pada bulan hadapan. Menurut Samsung, acara tersebut akan diadakan di Seoul, Korea Selatan buat julung kalinya. Berdasarkan ura-ura sebelum ini, dikatakan ia akan berlangsung pada tarikh sama ada 26 atau 27 Julai nanti.













