Sebuah institut di Jerman yang memiliki dan melesenkan format audio MP3 telah mengumumkan untuk tidak lagi memegang lesen dan hak cipta format audio berkenaan. Fraunhofer Institute for Integrated Circuits kini cenderung menyokong penggunaan format audio yang lebih baik dari MP3 seperti AAC atau MPEG-H.

Sungguhpun langkah ini tidak akan memberhentikan terus segala penggunaan format audio tersebut, ianya bakal memberikan ruang untuk format audio lain berkembang dengan lebih luas. MP3, format fail muzik yang turut membantu menaikkan nama-nama seperti Spotify dan Apple dalam industri muzik kini sudah menghampiri penghujung riwayatnya.

Alasan utama mengapa institut dari Jerman ini bertindak berhenti memegang lesen hak cipta format audio MP3 adalah disebabkan kini sudah wujud format audio yang jauh lebih baik kualitinya. Berikut adalah sebahagian dari kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Fraunhofer Institute for Integrated Circuits;

On April 23, 2017, Technicolor’s mp3 licensing program for certain mp3 related patents and software of Technicolor and Fraunhofer IIS has been terminated.

Institut berkenaan turut menambah, kebanyakan penyedia perkhidmatan penstriman, TV dan radio kini menggunakan codec ISO-MPEG seperti jenis AAC atau MPEG-H.

Pemberhentian lesen MP3 tidak akan memberhentikan penggunaannya secara serta merta kerana orang ramai masih lagi boleh menggunakannya seperti biasa. Langkah memberhentikannya lebih sekadar bertujuan simbolik bagi menunjukkan ia perlu digantikan dengan format audio yang lebih bagus kualitinya.

Sumber berita diperoleh dari Engadget

1 komen

Tinggalkan komentar