Barangkali atas sebab jumlah iklan yang terlalu besar untuk diabaikan, Facebook hari ini mengumumkan menarik larangan mengiklan kriptowang berkuatkuasa serta merta. Bagaimanapun, keputusan ini hadir dengan beberapa pengecualian seperti ianya perlu hadir dari “penasihat yang telah dipra-sahkan” sahaja dan iklan pilihan binari dan penawaran syiling permulaan masih lagi dalam larangan.
Larangan berkenaan bermula sejak dari Januari lalu berikutan jumlah syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini dianggap “tidak boleh dipercayai” oleh Facebook.
Sungguhpun Facebook mengakui larangan iklan kripto ini memberikan kesan yang besar, perubahan polisi ini mampu meningkatkan “integriti dan ciri keselamatan iklan, serta menyukarkan scammer menjalankan penipuan”. Juga, polisi ini turut akan dikaji semula dari semasa ke semasa seiring dengan peningkatan keupayaan membendung aktiviti penipuan atas talian.
Mana-mana pihak yang ingin menjalankan pengiklanan kriptowang di Facebook kali ini perlu menjalani proses permohonan bagi menentukan kesahihan perkhidmatan yang ditawarkan. Pemohon juga perlu menyertakan dokumen-dokumen sokongan seperti jenis lesen, aktiviti perdagangan dan lain-lain maklumat berkaitan dengan perniagaan yang dijalankan.
Keputusan awal larangan pengiklanan kriptowang oleh Facebook ini turut dicontohi oleh Google pada bulan Mac yang lalu. Manakala Twitter dan Snap pula memperkenalkan polisi-polisi yang perlu dipatuhi bagi mengiklankan perkhidmatan berkaitan kriptowang.
Industri kriptowang kini sememangnya menjadi lubuk penipuan dan tidak menghairankan apabila platform-platform seperti media sosial menetapkan peraturan yang lebih tegas bagi tujuan pencegahan. Menurut FTC, badan perlindungan pengguna Amerika Syarikat menyatakan pengguna-pengguna yang menjadi mangsa aktiviti penipuan kriptowang telah mengalami kerugian sehingga $532 juta (RM2.14 billion) dalam tempoh hanya dua bulan pertama tahun 2018 sahaja. Dijangkakan, jika tiada sebarang penguatkuasaan yang lebih tegas, jumlah kerugian mampu mencecah sehingga $3 billion (RM12 billion) sehingga penghujung tahun ini.
Sumber berita diperoleh dari Facebook













