Razer akan menamatkan perkhidmatan eDompetnya Razer Pay (beta) di Malaysia dan Singapura pada 30 September 2021. Jenama khusus permainan berkomputer ini turut mengucapkan jutaan terima kasih buat pengguna yang menyokongnya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihak Razer memaklumkan telah berjaya menjadikan platform tersebut sebagai tempat menguji pelbagai produk dan fungsi sepanjang tempoh beta tersebut.
Dalam pada masa yang sama, Razer komited memastikan pengeluaran dari seluruh akaun dan proses penutupannya mesra pengguna dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
Bagi anda yang masih lagi mempunyai kredit di dalam eDompet Razer Pay, anda masih boleh menggunakannya sehingga 31 Ogos 2021.
Berdasarkan laman soalan-soalan lazim, hari ini iaitu 6 Ogos 2021 merupakan hari terakhir Razer Pay menerima permohonan baharu, isian semula dan pemindahan kredit. Anda yang mempunyai kod hadiah Razer Card, anda masih boleh menebusnya sehingga 31 Ogos 2021.
Pengguna yang masih lagi menggunakan Razer Card pula, anda masih lagi boleh menggunakannya untuk pembayaran sehingga 31 Ogos 2021. Razer Pay (Beta) pula secara rasminya akan tamat pada 30 September dan aplikasi berkenaan tidak akan ada lagi selepas 1 Oktober 2021.
Pengeluaran Razer Pay
Untuk mengeluarkan baki kredit eDompet Razer Pay anda, anda boleh ketik pada tab “Withdraw”, pilih pada ‘Cash out’ dan ikuti langkah-langkah yang disediakan. Selepas selesai, anda akan menerima baki kredit anda dalam tempoh 5 (lima) hari bekerja.
Maklumat lanjut mengenai Razer Pay boleh didapati menerusi laman soalan lazim Razer Pay. Atau anda juga boleh menghubungi khidmat bantuan di dalam aplikasi atau melalui Live Chat.













