KUALA LUMPUR, Malaysia, 7 Mei 2025 – Equinix, Inc. (Nasdaq: EQIX), syarikat infrastruktur digital dunia®, hari ini mengumumkan penyempurnaan fasa kedua bagi pusat data miliknya, KL1 International Business Exchange™ (IBX®) di Kuala Lumpur, Malaysia. Pengembangan ini, bersama dengan tapak teguhnya di Singapura dan Johor serta langkahnya untuk berkembang ke Indonesia, Filipina dan Thailand, akan memudahkan syarikat perniagaan di rantau ASEAN untuk saling berhubungan dan bertukar data.
Pengembangan terbaru ini yang menambah 450 buah kabinet di pusat data KL1 adalah untuk memenuhi kenaikan permintaan infrastruktur digital di seluruh Malaysia. Sejak pelancaran operasinya pada tahun 2024, Equinix telah berjaya mendapatkan pelanggan antarabangsa dan tempatan dari pelbagai sektor termasuk perkhidmatan awan dan IT, kandungan dan media digital, perusahaan, serta penyedia rangkaian.
“Sejak tahun lalu, momentum memang menggalakkan, dengan kedua-dua pusat data di Kuala Lumpur dan Johor kami terus meraih perhatian kalangan syarikat tempatan dan antarabangsa,” ujar Cheam Tat Inn, Pengarah Urusan Malaysia, Equinix. “Penyempurnaan fasa kedua KL1 dalam tahun pertama operasi kami mempamerkan komitmen tinggi Equinix untuk membantu Malaysia menjadi lokasi strategik dalam ekonomi digital rantau ini.”
Pengembangan Equinix di Malaysia merupakan komitmen pelaburan jangka panjang dalam pertumbuhan digital negara. Dengan peningkatan permintaan di Kuala Lumpur dan Johor, Equinix kekal fokus dalam memperkasakan syarikat perniagaan dengan infrastruktur bertaraf tinggi, berdaya kembang serta mampan, yang terhubung dengan seluruh dunia dan berkeupayaan awan.
Dengan perhatian kepada ASEAN oleh syarikat perniagaan di serata dunia untuk meneroka peluang pasaran, pertumbuhan rantau ini bergantung kepada infrastruktur digital yang utuh dan saling terhubung bagi memenuhi permintaan daya keterhubungan yang kian meningkat. Dengan akses pasarannya yang tiada bandingan, termasuk lokasi strategik, dan daya pembuatan meluas yang menaikan taraf rantaian bekalan, ASEAN telah muncul sebagai salah sebuah rantau yang paling pesat membangun di dunia bagi pelaburan asing (FDI). Pada tahun 2023, jumlah pelaburan asing telah mencatat rekod US$226 bilion, dan unjuran menunjukkan bahawa ia boleh mencecah angka US$300 bilion setiap tahun menjelang 2030. Dipacu oleh koridor dagangan utama yang menghubungkan benua Timur dan Barat, eksport ASEAN diunjurkan bertumbuh sebanyak 6.7% setiap tahun sehingga 2030, mengatasi purata global iaitu sebanyak 5%.
Equinix telah menghubungkan pusat datanya di Malaysia (KL1 dan JH1) dengan kampus yang sedia ada di Singapura melalui Equinix Fabric®, untuk mewujudkan sebuah ekosistem digital merentasi sempadan yang mencakupi 1,000 buah syarikat perkhidmatan awan dan rangkaian, IT, dan perkhidmatan kewangan di rantau ini. Sejurus Equinix berkembang ke Indonesia, Filipina dan Thailand, ia akan memudahkan pertukaran yang lancar antara syarikat perniagaan serta membolehkan pengerahan tugasan multilapangan dan kependaman sensitif di rantau ASEAN.











