Dua kompaun telah dikeluarkan terhadap penyedia perkhidmatan telekomunikasi atas kesalahan tidak menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin di Parlimen semalam, dua kompaun berkenaan sedang dikemukakan terhadap Celcom dan Unifi Mobile.

Bernama melaporkan salah satu kompaun yang dikenakan berjumlah sehingga RM60,000. Manakala satu kompaun lagi melibatkan jumlah sehingga RM20,000.

Menteri berkenaan turut menyatakan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membuka 20 kertas siasatan berhubung penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia.

Siasatan ini berdasarkan penemuan oleh tinjauan kualiti perkhidmatan yang dijalankan di seluruh negara pada tahun lepas. Datuk Zahidi Zainul Abidin berkongsikan maklumat ini ketika menjawab pertanyaan oleh Ahli Parlimen Tebrau YB Choong Shiau Yoon di Dewan Rakyat semalam.

Langkah penambahbaikan rangkaian 4G di Malaysia

Sesi soal jawab semalam turut membincangkan tindakan yang diambil oleh pihak kementerian dalam memastikan akses internet 4G berada di tahap memuaskan selepas penamatan perkhidmatan 3G di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

Menurut menteri berkenaan lagi, bermula dari tahun ini, pihak SKMM akan menambahbaik pengauditannya di 3000 lokasi di seluruh Malaysia termasuk di kawasan yang menerima aduan pada tahun lepas.

Sehingga 25 Januari lalu, sebanyak 1,466 stesen pemancar 3G sedia ada telah dinaiktaraf ke 4G oleh penyedia perkhidmatan utama seperti Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile. Usaha menaik taraf ini akan diteruskan lagi pada tahun ini dengan menggunakan spektrum sedia ada bagi meningkatkan kapasiti dan juga kualiti internet jalur lebar mudah alih kepada pengguna.

Menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan sejumlah 2,175 menara pemancar baharu akan dibina bagi memperluaskan liputan 4G terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tinggalkan komentar