Casio telah mengumumkan pelancaran jam tangan kalkulator edisi khas, CA-500WEBF, sempena ulang tahun ke-40 filem ikonik Back to the Future. Dihasilkan dengan kerjasama Universal Products & Experiences (UP&E), jam tangan edisi terhad ini memberi penghormatan kepada filem keluaran 1985 itu dan jam tangan Casio klasik yang dipakai oleh watak utamanya, Marty McFly.
Jam tangan edisi terhad ini mengekalkan bentuk dan ciri-ciri asal model CA-500, tetapi diperkaya dengan elemen rekaan yang diinspirasikan daripada dunia Back to the Future.
Muka jam menampilkan rekaan yang diilhamkan daripada lampu belakang kereta DeLorean dan nombor plat “OUTATIME”. Manakala butang kalkulatornya yang berwarna-warni diinspirasikan daripada litar masa dalam filem tersebut.
Pada bahagian belakang jam, terdapat ukiran Flux Capacitor, komponen fiksyen yang menjadi sumber kuasa mesin masa dalam filem. Logo Back to the Future turut diukir pada bahagian kancing tali jam.
Lebih istimewa, bungkusan jam tangan ini direka menyerupai pita video VHS vintaj, lengkap dengan pelekat sewaan palsu.
Selain reka bentuk yang unik, Casio CA-500WEBF mengekalkan semua fungsi teras model asal. Antara ciri utamanya ialah:
- Kalkulator lapan digit
- Jam randik
- Penggera
- Kalendar harian
- Rintangan air
- Bateri dengan jangka hayat sehingga lima tahun
Casio CA-500WEBF akan mula dijual di pasaran terpilih pada 21 Oktober, tarikh yang dikenali sebagai “Back to the Future Day”. Jam tangan ini dijual pada harga AS$153 (kira-kira RM720) dan akan dikeluarkan dalam kuantiti terhad.
Bagi peminat di Malaysia, jam tangan ini telah disenaraikan di laman web Casio Malaysia, namun butiran harga dan ketersediaannya masih belum diumumkan. Menurut pihak Casio, model CA-500WEBF dijangka akan dilancarkan di pasaran tempatan pada awal November.


















