Mungkin Google (Alphabet) patut menggoogle nama baru sebelum membuat keputusan untuk menstrukturkan semula keseluruhan syarikat mereka. New York Times melaporkan syarikat induk Google yang baru ini bakal berdepan isu dengan pembuat kereta dari Jerman, BMW di mana ia memiliki syarikat perkhidmatan kenderaan yang menggunakan nama yang sama dengan domain Alphabet.com
Menurut jurucakap BMW kepada akhbar New York Times, pihak BMW tidak berhasrat untuk menjual domain berkenaan kerana Alphabet memainkan peranan yang besar dalam perniagaan mereka.
Melalui pengumuman penstrukturan berkenaan, Alphabet melancarkan abc.xyz sebagai nama domain mereka. Alphabet yang diketuai oleh pengasas Google, Larry Page dan Sergey Brin, kini menjadi syarikat induk Google. Penstrukturan ini bertujuan mengasingkan perniagaan teras syarikat (carian, GMail, Android dan lain-lain) dengan projek-projek berskala besar yang lain (Fiber, Calico, SpaceX, kereta pandu sendiri).
Walaupun penstrukturan ini merupakan satu tindakan yang wajar untuk Alphabet, namun ia agak mengelirukan ramai pihak di luar sana.
BMW sedang menilai sama ada Google/Alphabet telah melanggar hak cipta mereka atau tidak dan sehingga kini pihak BMW masih lagi tidak merancang untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, isu ini dilihat bukanlah satu perkara yang besar sebagaimana yang dinyatakan oleh salah seorang pengerusi Alphabet, Larry Page. Menurut beliau, Alphabet tidak akan mengeluarkan produk di bawah namanya dan sebaliknya di bawah cabang-cabang projek mereka seperti Fiber, Calico, SpaceX, dan lain-lain. Oleh itu, ia tidak akan dikenali dengan nama umum seperti mana jenama Google.
Apapun, agak menarik di sini apabila melihat syarikat-syarikat IT yang besar pun alami masalah seperti mana syarikat-syarikat kecil dan orang perseorangan dalam mencari domain yang unik untuk kegunaan perniagaan.












