Industri hiburan sering dimomokkan dengan bahaya cetak rompak terhadap survival industri berkenaan. Sejak dari era radio kaset di era 80’an lagi kita sudah dihebohkan dengan betapa isu cetak rompak ini amat merbahaya. Namun begitu, sehingga hari industri hiburan masih lagi bertahan walaupun pernah tenat seketika pada awal millenium.

Cuma, keadaan tenat industri hiburan di saat Tomok berambut belah tengah ketika itu bukanlah berpunca dari cetak rompak semata-mata. Faktor utamanya adalah kurangnya kreativiti karya tempatan dan juga serbuan besar-besaran karya dari Indonesia yang lebih segar menerusi Sheila On 7 dan lain-lain seperti yang pernah dilalui oleh industi muzik Malaysia.

Mujurlah di akhir dekad lalu, para pengkarya indie di Malaysia muncul menyelamatkan keadaan industri muzik. Mungkin tidak salah rasanya, saya berpendapat Myspace turut berperanan membantu mengembangkan bakat-bakat baru di Malaysia seperti yang pernah dilakukan oleh band seperti Hujan.

Jadinya, atas faktor apakah yang orang-orang di dalam industri hiburan tanah air ini seringkali mengkambing hitamkan cetak rompak tiap kali kelesuan melanda industri ini? Asal sahaja keuntungan industri hiburan merudum, cetak rompak sahajalah yang dipersalahkan. Macam dah takda alasan lain. Walhal, kandungan dan mutu hiburan aliran perdana kita yang membosankan lagi memperbodohkan khalayak itu tidak pula dikaji.

London School of Economics and Political Science pernah mengeluarkan kajian berkenaan pengaruh muat turun cetak rompak terhadap keuntungan industri cetak rompak. Menurut kajian berkenaan, perkongsian fail tidak begitu memberikan kesan terhadap jualan pihak industri, malah ianya telah banyak memberikan keuntungan secara tidak langsung, baik kepada pengguna mahupun industri hiburan secara keseluruhannya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, aktiviti perkongsian fail memberikan kesan positif. Walaupun begitu, orang-orang kuat di dalam industri hiburan masih lagi tegar dengan pendirian bahawa cetak rompak adalah punca utama kelesuan jualan mereka.

Kemerosotan jualan industri hiburan banyak tertumpu kepada jualan media-media fizikal seperti DVD, CD dan juga kaset. Umum sedia maklum, sejak era format MP3 merajai industri muzik, peminat hiburan generasi baharu cenderung memperoleh kandungan secara digital sebagaimana yang pernah dilakukan pada era kemunculan Apple iPod melalui bantuan iTunes. Sejak dari itu, dunia hiburan sudah berevolusi dengan sangat pantas.

Ramai pengkarya di dalam industri hiburan meraih laba yang besar sejak perubahan ini berlaku. Mereka meraih keuntungan melalui jualan digital, khidmat langganan, streaming dan persembahan secara langsung untuk menampung kemerosotan jualan dari CD atau album rakaman.

Music Graph

Menurut laporan dari London School of Economics and Political Science itu tadi, seluruh sektor industri hiburan mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan sejak dari teknologi perkongsian fail mula diperkenalkan. Industri permainan video semakin rancak berkembang, industri muzik mencatatkan peningkatan saban tahun malah, industri perfileman Amerika Syarikat masih mampu memecahkan rekod box office filem-filemnya. Walaupun Motion Picture Association of America (MPAA) mendakwa cetak rompak atas talian menghancurkan industri hiburan.

Hollywood memecahkan rekod kutipan box office di seluruh dunia sebanyak $35 billion pada 2012. Peningkatan sebanyak 6% berbanding tahun 2011.

Untuk industri muzik pula, keuntungan dari konsert, penghasilan dan jualan kandungan digital telah meningkat dengan mendadak sejak dari awal 2000. Dalam pada masa yang sama, keuntungan dari album rakaman pula mencatatkan kemerosotan. Namun demikian, tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan pengurangan tersebut dengan aktiviti cetak rompak.

Perkongsian fail boleh memanfaatkan industri hiburan melalui pelbagai cara. Kita boleh lihat bagaimana perkhidmatan seperti Spotify dan SoundCloud sekarang ini telah membantu mengetengahkan ramai karyawan-karyawan baharu mempersembahkan karya mereka melalui lesen Creative Commons. Seterusnya memberikan nafas baru di dalam industri muzik masa kini.

Di Malaysia, kita tentu tidak mengetahui tentang bakat-bakat baru seperti Yuna, Najwa Latiff, Ainan Tasneem dan Mat Lutfi jika tidak kerana jasa YouTube. Melalui YouTube, lagu-lagu yang memiliki hak cipta terpelihara digunakan untuk meningkatkan jualan album para pengkarya. Malah, kajian mendapati golongan yang berkongsikan fail adalah golongan yang paling banyak membeli karya-karya hiburan, tak kira sama ada muzik mahupun filem.

Hal berkenaan perkongsian fail ini perlulah merujuk ke segenap sudut dan bukannya hanya dari satu pihak sahaja seperti yang sering berlaku di Malaysia ini. Tak habis-habis nak menyalahkan cetak rompak jika karya tidak mendapat sambutan dan tak laku.

Buat filem/drama/lagu tak best, siapa yang nak ambik port. Bagi free pun belum tentu orang nak.

13 KOMEN

  1. Tanpa cetak rompak pun jika industri hiburan kita masih dengan iklim lama yang tak banyak berubah, ia akan terus lesu dan layu. Tengoklah lagu2 kita temanya masih tema zaman P.Ramlee, R. Azmi dan Jefridin: putus cinta, keluh kesah, merana. Lagu tentang realiti kehidupan tak dapat tempat, semuanya tentang khayalan cinta. Drama-drama kita pula cuma tentang berebut harta, cinta dan kehidupan durjana tokoh korporat bergelar Datuk, Datin, Tan Sri, Puan Sri. Kalau 10 tahun lagi masih begini, tanpa cetak rompak pun industri hiburan kita akan terus lesu..

  2. Setuju juga kita perkataan ‘cetak rompak’ terus dijadikan alasan semata mata.
    Pokok pangkalnya kualiti dan kreativiti…kalau memang bagus dan boleh diiktiraf, pastinya para peminat industri hiburan tanah air akan terus menyokong.

  3. ya, patutnya mereka berterima kasih dengan para lanun ni. sebab dengan adanya diorang la hasil kerja pengkarya (kononnya) lebih dikenali. aku pun pernah beberapa kali langgan filem kat asstro dan beli CD original lepas puas hati beli yang pirate. konon nak membantu.

    kemon la, ini bukan zaman filem kembara seniman jalanan. cetak rompak, owh! owh..! yeah…

    • Filem Kembara Seniman Jalanan tu aku pernah beli original kat Speedy sebab filem tu tak macam tipikal filem melayu lain. Sampai sekarang teringat-ingat lagi aku dengan watak Osman Tikus.

      Aku kalau filem/muzik tu bagus, sanggup keluar duit beli yang ori. Kalau tak best, download free pun aku malas. Haha

  4. karya yg hebat sering jadi mangsa cetak rompak…kalau yg ala2 saja siapa peduli..tapi yg terbaiknya perlu jujur kpd diri sendiri jaga hak masing2..

  5. Industri hiburan kita tak sama dgn industri barat. Dari segi kemajuan/teknologi saja sudah jelas kelihatan punyalah jauh berbeza. Audience pun tak sama. Apa lagi genre yg berbeza-beza hingga ada setengahnya hanya menjurus satu kelompok masyarakat saja. Oleh itu cetak rompak bukanlah isu utama kerana ada banyak isu lain yg menjadi kan industri hiburan terjejas begitu.

  6. Setuju dgn kenyataan ni.. sbg pengguna dan peminat muzik, sejak dulu lagi klu lagu tu betul2 menambat hati, saya akan beli keset atau cd. Saya nak koleksi yg original walaupun terpaksa ikat perut makan roti canai siang malam waktu bujang dulu. Skrng pun klu ada bajet pun ada masa masih beli juga walaupun dah setahun dua lagu tu popular. Feel beli cd ori utk muzik yg kita suka mmg lain.. bukan alasan cetak rompaklah..

Tinggalkan komentar