Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 di Malaysia turut memberi kesan terhadap pengeluaran dan bekalan kapasitor aluminium.
Hal ini seterusnya memburukkan lagi masalah kekurangan bekalan cip di seluruh dunia. Masalah ini berlaku tidak lama selepas masalah bekalan bahan mentah seperti logam nadir bumi (rare earth) dan seramik.
Digitimes Asia melaporkan, pembekal Jepun Chemi-Con dan Nichicon terpaksa menutup fasilitinya di Malaysia berikutan pelaksanaan PKP pada Julai dan Ogos lalu.
Selepas keadaan mula kembali pulih, kedua-duanya dilaporkan hanya kembali ke sekitar 60% dari tenaga kerjanya. Ini seterusnya mengakibatkan pengurangan tahap kapasiti maksimum pengeluarannya.
Selain dari Chemi-con dan Nichicon, syarikat Rubycon mempunyai pegangan besar di dalam pasaran bekalan kapasitor aluminium global. Komponen ini merupakan komponen pasif yang penting di dalam peranti elektronik seperti komputer, dan kenderaan elektrik.
Menurut Digitimes lagi, pengeluaran kapasitor aluminium dari Malaysia boleh merosot antara 30 hingga 60 peratus berikutan situasi pandemik semasa.
Keadaan ini merupakan sebahagian dari masalah rantaian bekalan komponen elektronik global sejak kebelakangan ini. Dalam tempoh beberapa tahun lalu, harga logam nadir bumi telah meningkat naik hingga mengakibatkan kenaikan kos pengeluaran peranti elektronik.
Pelaksanaan PKP di Malaysia juga telah menjejaskan bekalan kapasitor seramik yang merupakan komponen yang amat penting dalam litar elektronik.
Kekurangan bekalan cip ‘driver’ paparan pada tahun ini boleh memberi kesan terhadap apa sahaja yang membabitkan peranti dengan paparan. Baru-baru ini, Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) berpendapat keadaan kekurangan bekalan semikonduktor ini mungkin berlarutan sehingga akhir 2022.













