Minggu lalu, Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pihak kerajaan akan menyediakan bantuan kewangan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada rakyat Malaysia berpendapatan B40 dan M40. Lanjutan dari itu, Kementerian Kewangan telah menyediakan perincian bagaimana agihan pemberian ini dilaksanakan.
Bayaran BPN akan dibuat terus kepada penerima-penerima yang layak melalui akaun bank masing-masing. Bagi penerima kategori B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), bayaran akan dibuat secara automatik ke akaun bank berdasarkan maklumat yang didaftarkan di dalam pangkalan data BSH.
Bagi penerima M40 yang layak dan mempunyai maklumat di dalam pangkalan data pembayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bayaran BPN akan dimasukkan terus akaun bank yang telah didaftarkan.
Bayaran BPN akan dilaksanakan secara dua peringkat – pertama pada bulan April, dan seterusnya pada bulan Mei 2020. Bagi anda yang belum mendaftar di BSH atau LHDN, anda perlu membuat permohonan baru melalui laman web rasmi LHDN bermula dari 1 April 2020. Anda boleh membuat semakan status kelayakan bayaran BPN bermula dari 1 April melalui laman web LHDN, BSH atau Kementerian Kewangan.
Penerima yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN)
Pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada akhir bulan April dan Mei 2020, mengikut kelayakan berikut:
| Kategori dan Pendapatan bulanan | Jumlah Bantuan BPN | Jumlah penerima yang dijangka | Tempoh pembayaran |
| Pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah | RM1,600 | Sehingga 4 juta isi rumah | Bayaran RM1,000 pada April dan RM600 pada Mei |
| Pendapatan isi rumah RM4,001 – RM8,000 | RM1,000 | Sehingga 1.1 juta isi rumah | Bayaran RM500 pada April dan RM500 pada Mei |
| Individu bujang berusia 21 tahun dan ke atas berpendapatan RM2,000 dan ke bawah | RM800 | Sehingga 3 juta individu | Bayaran RM500 pada April dan RM300 pada Mei |
| Individu bujang berusia 21 tahun dan ke atas berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000 | RM500 | Sehingga 400,000 individu | Bayaran RM250 pada April dan RM250 pada Mei |
Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan scammers berkaitan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional. Orang ramai boleh berhubung terus ke Kementerian Kewangan atau LHDN melalui talian hotline rasmi untuk pertanyaan lanjut.
Anda boleh menghubungi Kementerian Kewangan pada jam 9 pagi hingga 5 pertang dari Ahad hingga Jumaat di talian 03-8882 9089 / 03-8882 9087 / 03-8882 9191 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566. Juga, anda boleh menghubungi LHDN pada waktu operasi yang sama di talian 1-800 882 747 atau 03-8911 1000.













