Dua badan pengujian perisian antivirus bebas, AV-Comparatives dan AV-Test telah menyiapkan hasil pentaksirannya terhadap produk perisian antivirus terbaik untuk tahun 2016. AV-Comparatives menetapkan perisian Avira Antivirus Pro 2016 sebagai yang terbaik. Manakala AV-Test pula mendapati Norton Security 2016 adalah yang terbaik.

Bagaimanapun, terdapat sedikit kontroversi yang menyelubungi pengujian ini apabila syarikat pengeluar Norton Security 2016, Symantec enggan menghantar produknya kepada AV-Comparatives untuk diuji. Oleh itu, terdapat perbezaan diantara kedua-dua pentaksiran ini di mana Norton Security 2016 tidak disenaraikan di dalam hasil ujian AV-Comparatives.

Hasil dari ujian keseluruhan oleh AV-Comparatives mendapati Avira Antivirus Pro 2016 mencatatkan keputusan terbaik yang diikuti rapat oleh Bitdefender dan Karspersky.

Berbeza pula halnya dengan pengujian yang dilakukan oleh AV-Test. Di dalam hasil ujian ini, didapati Norton Security 2016 menawarkan perlindungan yang terbaik. Manakala Avira pula ditempatkan pada kategori lain sebagai perisian terbaik untuk membaik pulih PC yang sudah dijangkiti.

Selain itu, AV-Test turut melakukan pengujian perisian terhadap komputer yang menggunakan sistem operasi yang lama seperti Windows 7.

Sungguhpun hasil keputusan pentaksiran ini boleh dipercayai, anda sebagai pengguna tidak perlu terlalu taksub dengan keberkesanan perisian-perisian antivirus sebagaimana yang ditunjukkan di dalam ujian berkenaan. Banyak faktor yang perlu diambil kira untuk menentukan sejauh mana keberkesanan sesebuah perisian antivirus seperti tabiat penggunaan komputer dan juga tahap kemaskini sesebuah perisian.

Sumber berita diperoleh dari AV-Test dan AV-Comparatives

Tinggalkan komentar