Tidak berapa lama selepas iPad mini dilancarkan, pengguna-penggunanya mula mengadu masalah papara skrinnya. Didapati skrin mereka mempunyai kesan aneh seakan-akan menjadi jeli apabila melakukan tatalan (scrolling).
Ia kelihatan seperti sebahagian paparan yang ditatal mempunyai kadar berbeza-beza antara satu sama lain, menjadikannya kelihatan beralun-alun.
Bagi pengguna yang terkesan dengan masalah ini, anda mungkin kecewa dengan maklum balas yang diberikan oleh pihak Apple. Hal ini kerana Apple telah memberitahu laman Ars Technica bawah isu skrin peranti berkenaan beralun merupakan sesuatu yang normal.
Menurut jurucakap Apple kepada laman tersebut, kesan berjeli seperti yang dilihat merupakan perkara biasa untuk skrin LCD disebabkan ia melakukan penyegaran semula (refresh) mengikut setiap garis.
Oleh yang demikian, adalah normal bagi garis pada sebelah atas paparan melakukan penyegaran semula pada kadar yang berbeza dengan garis di sebelah bawah.
Pihak laman Ars Technica bagaimanapun menyanggah alasan ini kerana kesan ini lebih ketara pada iPad mini berbanding pada skrin LCD iPad 60Hz lain. Ini termasuk dengan model-model peringkat pemula yang dilancarkan bersekali dengan iPad mini.
Selain itu, terdapat garis yang amat ketara membahagi skrin di tengah-tengah iPad mini berkenaan apabila berada di dalam mod potret.
Tidak dapat dipastikan apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak Apple berkenaan masalah ‘jelly scrolling’ ini kelak. Berdasarkan respon semasa mengenai isu ini, pengguna mungkin terpaksa menerima keadaan paparan iPad mini tersebut seadanya.













