Apple dikatakan telah berjaya mendapatkan pembekal baharu bagi komponen lensa telefotonya untuk sistem kamera berperiskop di dalam iPhone keluaran akan datang, menurut laporan oleh The Elec.

Rabu baru-baru ini, firma dari Korea Selatan Jahwa Electronics menyatakan perancangan untuk melabur sejumlah 191 billion won (~RM658 juta) untuk membina kilang pengeluaran penggerak (actuator) penstabil imej optikal (optical image stabilization, OIS) baharu.

Berdasarkan laporan awal oleh The Elec, Apple telah membuat lawatan ke fasiliti baharu Jawa Jahwa Electronics pada petengahan tahun 2021. Kunjungan tersebut dilihat sebagai salah satu usaha menarik pelaburan bagi membolehkan Jahwa membekalkan penggerak OIS berkenaan kepada Apple bermula tahun hadapan.

Apple pada kebiasaannya akan meminta pembekalnya mewujudkan barisan pengeluaran yang dikhususkan untuk peralatan dan komponen bagi produk-produknya. Bagaimanapun, kilang pengeluaran yang akan dibina dibina di Gumi, Korea Selatan ini dijangka akan memerlukan pemeriksaan dari pihak Apple sebaik ia disiapkan. Proses ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun dari sekarang.

Penggerak OIS yang menggabungkan OIS dan fungsi fokus auto ini berkemungkinan besar akan digunakan pada iPhone keluaran 2023. The Elec sebelum ini melaporkan komponen ini akan disertakan ke dalam sistem kamera berperiskop bagi meningkatkan tahap pengezuman optikalnya.

Khabar angin kamera periskop Apple

Desas-desus mengenai iPhone akan menggunakan sistem kamera berperiskop ini telah pun tersebar sejak awal 2020 lagi. Bagaimanapun, Apple dilaporkan berdepan dengan masalah untuk menggunakan sistem kamera berperiskop ini kerana Samsung sedang memegang paten berkenaan. Pun begitu, berdasarkan perkembangan terbaru, Apple mungkin bersetuju untuk membayar royalti untuk sistem berkenaan apabila menggunakan pembekal yang sama dengan Samsung.Kamera Periskop Samsung

Menerusi sistem periskop ini, cahaya yang memasuki lensa telefoto akan dipantulkan oleh satu cermin bersudut ke arah sensor pengimejan kamera. Perubahan arah pencahayaan ini membolehkan pemasangan telefoto yang kompleks dapat dimuatkan ke dalam sesebuah telefon bagi membantu pengguna melakukan pengezuman tanpa sebarang kekaburan. Antara contoh terbaik penggunaan sistem ini adalah pada Samsung Galaxy S22 Ultra yang mampu mengambil foto pengezuman sehingga 100x dengan amat baik.

Tinggalkan komentar