Penguasaan pasaran telefon pintar Android di seluruh dunia mula mencatatkan sedikit pengurangan sejak dari tempoh empat tahun yang lalu. Dalam tempoh berkenaan juga, didapati peranti iOS pula kian membesar, menurut laporan analisis terkini.

Sistem operasi Android dari Google merupakan paling banyak digunakan pada peranti mudah alih di seluruh dunia dengan pelbagai pengeluar telefon pintar menggunakannya untuk mengoperasikan peranti masing-masing. Oleh itu, tidak mengejutkan jika Android menguasai sekitar dua pertiga dari pasaran peranti mudah alih.

Bagaimanapun, data terkini dari StockApps menunjukkan Google tidak lagi boleh berada di dalam keadaan terlalu selesa seperti kebiasaannya.

Android menguasai 77.32% pasaran sistem operasi di seluruh dunia pada Julai 2018. Walaubagaimanapun, lebih kurang empat tahun kemudian pada Januari 2022, peratusan berkenaan telah merosot kepada 69.74%.

Pada masa yang sama, tempoh berkenaan juga menyaksikan perkembangan iOS di seluruh dunia meningkat 6% dari 19.4% kepada 25.49%. Berdasarkan analisis dari StockApp berkenaa, baki 1.58% selebihnya dikuasai oleh pelbagai pembangun sistem operasi berskala kecil.

Pun begitu, perubahan ini tidak akan membuatkan kedudukan Android terancam secara drastik. Apple dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini telah mempelbagaikan penawaran iPhone dan iPad kepada kumpulan penggunanya.

Laporan analisis dari StockApp ini juga memberikan perincian mengenai peratusan penggunaan sistem operasi berdasarkan benua. Bagi pengguna di benua Afrika, Asia dan Amerika Selatan, majoriti pengguna cenderung memilih Android atas faktor peranti iOS secara relatifnya agak mahal di pasaran berkenaan.

 

Tinggalkan komentar