Menggunakan Android box untuk menonton kandungan berbayar secara cetak rompak adalah melanggar hak cipta terpelihara pemiliknya adalah haram, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut Pejabat Mufti berkenaan lagi, sungguhpun pembelian dan penggunaan Android box adalah harus. Akan tetapi, menggunakan peranti berkenaan untuk mengakses ke kandungan berbayar secara tidak sah adalah salah dari segi syarak.

Kenyataan tersebut dikeluarkan menerusi ruangan Irsyad al-Fatwa di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bahagian ini mengkhususkan pada maklum balas dari Pejabat Mufti berkenaan isu-isu semasa dan pertanyaan dari orang ramai.

Pejabat Mufti juga menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai tontonan kandungan penstriman yang melibatkan kandungan percuma dan berbayar.

Tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang. Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.

Peranti yang membolehkan akses ke kandungan secara tanpa langganan boleh menyebabkan kerugian kepada penyiarnya.

Permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya.

Turut diterangkan menerusi kenyataan tersebut, harta intelek untuk penyiaran dan media berkaitan seperti tanda dagang, skrip atau ciptaan dilihat sebagai harta. Justeru, individu lain tidak dibenarkan untuk menggunakannya tanpa kebenaran.

Tinggalkan komentar