AMD kini telah pun mendedahkan apa yang telah dinanti-nantikan oleh para peminatnya, info lanjut tentang Zen. Untuk itu, syarikat pengeluar pemprosesan ini telah memberikan beberapa spesifikasi penting berkenaan CPU berasaskan Zen yang pada kali ini dinamakan sebagai AMD Ryzen.
Ryzen merupakan CPU pertama yang menggunakan teras Zen. Ia menampilkan 8 teras CPU dengan 16 thread. Menariknya, CEO AMD, Lisa Surihani memaklumkan bahawa AMD Ryzen bakal hadir dengan kelajuan klok asas dari 3.4 GHz berserta cache 20MB untuk kedua-dua L2 dan L3. Pemproses ini menggunakan soket AM4.
Pada acara berkenaan, AMD turut tidak ketinggalan untuk membandingkan CPU terbaru berasaskan Zen dari AMD ini dengan Intel Core i7-6900K. Kedua-duanya merupakan CPU lapan teras dengan 16 thread. Kedua-duannya dibandingkan melalui pelbagai jenis ujian dan yang paling menonjol adalah ujian melalui Blender dan Handbrake.
Melalui ujian rendering Blender, Ryzen mampu menyaingi masa rendering Intel Core i7-6900K. Manakala untuk ujian Handbrake pula, Ryzen mampu menamatkan masa 5 saat lebih pantas berbanding pesaingnya dari Intel. Apa yang menarik dari ujian ini, Ryzen masih lagi pada peringkat klok asasnya 3.4 GHz, manakala Intel Core i7-6900K pula sudah habis dipertingkatkan kuasanya ke tahap maksimum. Ibaratnya, macam Goku (Ryzen) lawan Bezita (Intel Core i7-6900K), Bezita dah jadi sampai Super Saiya Keempat dah nak bagi fight sama level, padahal Goku belum bertukar jadi Super Saiya pun lagi.
Lain-lain ciri menarik yang ditawarkan oleh Ryzen adalah Extended Frequency Range (XFR). Ciri ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna-pengguna yang menggunakan sistem penyejukan cecair dan nitrogen cecair. Menurut AMD, secara teorinya Ryzen boleh dipertingkatkan lagi kelajuan kloknya melebihi yang ditetapkan apabila disejukkan menggunakan sistem penyejukan berkenaan.
Harga yang ditawarkan kelak dijangka sekitar USD 1,100 (bersamaan RM 4,882) atau lebih kurang dengan harga Intel Core i7-6900K dan insya-Allah dijangkakan akan hadir untuk pasaran umum pada suku pertama tahun 2017.
Sumber berita diperoleh dari PC Gamer













