Senarai perkakasan komputer pada harga mampu milik bertambah dengan adanya pemprosesan jenis APU terbaru A-Series dari AMD, A8-7670K. Berasaskan dari senibina 28nm Kaveri, pemprosesan ini menawarkan ciri penggunaan tenaga yang cekap yang menjamin penjimatan. Selain itu, APU (Accelerated Processing Unit) keluaran AMD ini juga menawarkan kuasa pemprosesan yang bagus dan juga mampu menjana kuasa grafik dengan baik. Ia mengandungi 10 teras komputer, di mana 4 teras CPU berkuasa 3.9 GHz dan 6 teras GPU yang berkuasa 975 MHz.

Menurut Kevin Lansing, Pengarah Kanan Unit Perniagaan Pelanggan AMD, ”Kami di AMD menggembleng usaha memberikan teknologi berinovasi yang menyediakan prestasi untuk kesenangan pengguna hari ini dan masa depan. APU A8-7670K dari AMD ini turut tidak terkecuali. APU terbaru dari kami ini menyediakan pengalaman penggunaan yang lancar serta tereka bentuk khusus untuk Windows 10 dan permainan eSports atas talian,”

Pihak AMD turut mengesahkan pemprosesan terbaru ini mampu mempertingkatkan prestasi pelayar baharu Microsoft Edge dan pada masa yang sama juga mampu menguruskan penstriman permainan dari Xbox One ke mana-mana PC yang dikuasakan oleh APU ini. Fungsi-fungsi terkini dari AMD turut disokong oleh pemprosesan ini seperti Virtual Super Resolution (VSR) untuk API multi-threaded seperti DirectX 12 dan Vulkan dan juga teknologi paparan dari AMD seperti Eyefinity dan FreeSync.

Dikhabarkan APU A-Series A8-7670K kini sudah boleh diperoleh di pasaran Malaysia. Namun, harganya di Malaysia masih belum diketahui. Mengikut harga jualannya di Amerika Syarikat, ia dijual pada harga US$117.99 atau lebih kurang RM450.

-Sumber berita diperoleh dari AMD

Tinggalkan komentar