Intel sebelum ini pernah mengumumkan bakal melancarkan CPU 28 teras, tapi AMD nampak gayanya memberikan cabaran sengit apabila melancarkan Threadripper Generasi Kedua yang mengandungi sehingga 32 teras.

Threadripper Generasi Pertama sebelum ini mengandungi 16 teras – yang mana menampilkan dua terapan lapan teras – dan untuk Threadripper 2 ini ia mengandungi 4 terapan yang seterusnya menjadikan ia memiliki 32 teras dan 64 bebenang.

Proses pembuatannya masih lagi sama menggunakan cara 12nm dan ia juga menggunakan silikon Zeppelin yang sama dengan generasi pertama. Cuma ia dibezakan dengan ubahsuai pada prestasi dan frekuensi klok yang telah dipertingkatkan.

Threadripper 2 juga mempunyai TDP maksima sehingga 250W. Malah pinnya juga boleh serasi dengan jenis generasi pertama, menjadikan pengguna boleh menaik taraf ke Threadripper 2 tanpa perlu menukar papan induk X399 sedia ada.

Sudah pasti, pengguna perlu melakukan flash terhadap BIOS pada papan induk terlebih dahulu bagi membolehkan papan induk mengcam CPU yang baru dipasang. Bagaimanapun, dijangkakan para pengeluar papan induk akan menerbitkan kemaskini firmware papan induk masing-masing sebaik sahaja Threadripper 2 dilancarkan nanti.

Pihak AMD menyatakan Threadripper 2 akan dilancarkan sekitar suku tahun ketiga 2018 ini. Ianya sedikit awal dari Intel yang khabarnya akan melancarkan CPU 28 teras keluarannya sekitar suku tahun keempat 2018.

Sumber berita diperoleh dari AnandTech

Tinggalkan komentar