Laptop permainan Alienware M15 R4 dan Alienware M17 R4 yang pertama kali diumumkan pada CES 2021 kini telah berada di pasaran Malaysia. Secara amnya kedua-dua laptop ini lebih kurang sama dengan R3 keluaran 2020 dahulu, cuma bezanya pada kad grafik NVIDIA GeForce Siri RTX 30.
Dilengkapkan dengan pemprosesan Intel Core i7-10870H sebagai standard, kedua-dua juga turut menggunakan kuasa pemprosesan grafik GeForce RTX 3070. Bagaimanapun, pengguna boleh menaik taraf perkakasan tersebut melalui RTX 3080 dengan menambah RM1,000.
Unit asas untuk M15 R4 didatangkan dengan paparan Full HD 15.6-inci 300Hz, namun boleh ditukarkan dengan gandingan panel OLED 4K 60Hz dan pengesan Tobii Eyetracking pada tambahan harga RM1,200.
Bagi M17 R4 pula, pengguna boleh memilih sama ada menambah sokongan natif NVIDIA G-Sync pada paparan asalnya Full HD 144Hz. Atau menggantikannya dengan panel 360Hz yang juga menyokong G-Sync secara natif.
Selain itu, terdapat juga pilihan panel 4K 60Hz dan pengesan Tobii Eyetracking untuk M17 R4. Kos keseluruhan untuk penambahan pilihan paparan berkenaan adalah di antara RM150 hingga RM1,500.
Kedua-dua M15 dan M17 R4 juga boleh dilengkapkan dengan RAM sehingga 32GB DDR4-2933. Untuk storannya, M15 boleh dipertingkatkan sehingga tiga pemacu keadaan pejal (SSD) 1TB. Manakala bagi M17, ianya mampu menyokong sehingga satu 2TB dan dua 1TB SSD.
Harga bagi Alienware M15 R4 adalah bermula dari RM 11,999. Manakala bagi Alienware M17 R4 harganya adalah dari RM 11,499. Bagaimanapun, kedai dalam talian Dell Malaysia buat masa ini menyenaraikannya pada harga yang sedikit rendah iaitu masing-masing pada RM 10,999 dan RM 10,799. Dell Malaysia bagaimanapun tidak menyatakan beberapa lama tawaran rebat tunai tersebut di tawarkan bagi kedua-dua laptop berkenaan.