Windows Defender versi yang terkini pada tahun 2019 ini bukan lagi seperti versi lima atau enam tahun dahulu sewaktu ianya dikenali sebagai Windows Security Essentials yang disediakan untuk Windows 7.
Bermula dari pengenalan Windows 8, aplikasi keselamatan Windows ini telah mula bertukar namanya kepada Windows Defender bagi menyesuaikannya mengikut keperluan semasa. Setelah sekian banyak ditambah baik serta kemaskini, Windows Defender versi yang terkini pada Windows 10 hari ini sudah pun setaraf dengan keupayaannya dengan perisian-perisian antivirus lain termasuk versi berbayar.
Pengujian dengan AV Test
Bagi mengetahui sejauh mana tahap keberkesanannya, sebuah portal keselamatan IT, AV Test telah menjalankan pengujian perisian antivirus dari pelbagai pengeluar termasuk Windows Defender. Setiap perisian antivirus diberikan penarafan berdasarkan skala 0 hingga 6, yang mana 0 adalah terendah dan 6 pula adalah yang paling tinggi.
Tiga elemen yang diuji berdasarkan kategori adalah Perlindungan (Protection), Prestasi (Perfomance) dan Kepenggunaan (Usability). Jadi, sejauh mana tahap keberkesanan Windows 10.
Boleh tahan sebenarnya.
Pada April 2018 yang lalu, Windows Defender mencatatkan markah 5.5 untuk ketiga-tiga kategori. Bagaimanapun, pengujian pada bulan Disember 2018 mendapati Windows Defender telah mencatatkan peningkatan pada Perlindungannya yang mencatatkan markah penuh.
Secara teknikalnya, pada Disember 2018 didapati Windows Defender mempunyai penarafan Perlindungan dan Prestasinya setaraf dengan pengeluar perisian antivirus besar lain seperti Avast, AVG dan Avira.
Menurut AV Test, Windows Defender buat masa ini menyediakan 99.6 peratus perlindungan terhadap serangan malware “zero-day”. Dari 1.5 juta sampel, Windows Defender mengesan tujuh bit perisian sebagai malware pada November.
AV Comparatives
Untuk meluaskan perspektif kita berkenaan sejauh mana tahap keberkesanan fungsi Windows Defender, kita boleh juga melihat pengujian oleh pihak lain seperti AV Comparatives pula.
Pengujian yang dilakukan berdasarkan ujian perlindungan dunia-nyata menunjukkan Windows Defender menunjukkan prestasi yang agak baik. Antara ujian-ujian yang dilakukan termasuklah melayari URL-URL hasad (malicious), muat-turun pandu-lalu, dan lencongan URL yang membawa pengguna ke malware.
Windows Defender menunjukkan kadar kompromi 0 peratus, yang mana lebih baik dari kadar 0.5 peratus oleh Avast dan AVG. Turut mencatatkan kadar sifar kompromi ini adalah perisian-perisian dari Avira, Bitdefender dan McAfee.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya, Windows Defender telah dipertingkatkan secara drastik mutunya dalam menghalang malware “user-dependent” – jenis malware yang sebelum ini Windows sekadar memberikan peringatan tentang bahayanya, tetapi pengguna masih lagi boleh membukanya.
Pada April 2018, kadar malware jenis “user-dependent” adalah pada kadar 3.6 peratus. Namun, antara Julai hingga November 2018 kadar ini telah merosot sehingga ke paras 0.8 peratus.
Cuma, kelemahan yang dapat dikesan pada Windows Defender adalah kadar “false-positive”nya yang terlalu tinggi pada kadar 106 dari Julai hingga November 2018, tertinggi dari mana-mana perisian antivirus yang telah diuji oleh AV Comparatives.
Apa yang Microsoft boleh lakukan untuk menambah baik Windows Defender pada masa akan datang adalah dengan merendahkan kadar “false-positive” yang dikesan olehnya.
Kian bertambah baik
Tolak tepi masalah “false-positive” yang terlalu tinggi, Windows Defender hari ini sebenarnya sudah jauh lebih baik berbanding beberapa tahun dahulu.
Oktober 2015 dahulu, AV Test pernah menilaikan kadar Perlindungan yang ditawarkan oleh Windows Defender adalah antara yang terendah pada taraf 3.5/6, dengan hanya 95 peratus kadar perlindungan terhadap serangan “zero-day” malware. Kadar purata antivirus-antivirus lain pada masa itu adalah 97.2 peratus.
AV Comparatives pula menilai Windows Defender mempunyai 3 peratus kadar kompromi sepanjang Julai hingga November 2016. Kadar ini mempunyai kaitan dengan malware dari jenis “user dependent” seperti yang diterangkan tadi. Walaupun kadar kompromi ini masih lagi belum ditangani dengan lebih baik oleh Windows Defender, secara keseluruhannya ia kini jauh lebih baik dari apa yang mampu dilakukannya pada tahun 2016 dahulu.
Secara keseluruhannya, jika dulu kita mungkin menganggap tidak memasang perisian antivirus pada komputer Windows adalah kerja yang gila. Mengharapkan perlindungan dari Windows Defender semata-mata tanpa memasang perisian antivirus satu ketika dulu dianggap sebagai menjemput anasir-anasir jahat seperti virus, malware dan sebagainya.
Kini, keadaan sudah berubah apabila Windows Defender sudah cukup kuat untuk melindungi komputer anda dan ianya setara dengan antivirus-antivirus berbayar yang lain.
Bagaimanapun, ini tidak semestinya menggalakkan anda terus menyahpasang perisian antivirus yang lain pada PC anda. Tidak salah jika anda inginkan lebih perlindungan pada PC anda dengan memasang perisian antivirus lain selain dari Windows Defender.
Lagipun, ancaman keselamatan siber sentiasa berubah taktik dan caranya setiap hari dan ianya boleh menyerang sesiapapun pada bila-bila masa.


![Syarikat-syarikat Antivirus komited teruskan Sokongan untuk Windows 7 [Senarai]](https://i0.wp.com/hteknologi.com/blog/wp-content/uploads/2020/01/Selamat-Jalan-Windows-7.jpg?resize=238%2C178&ssl=1)










