Acer secara rasminya mengumumkan laptop gaming terbarunya, Acer Predator Helios 500 bersempena acara bersama-sama media di New York semalam.
Dilengkapi dengan paparan 17.3 inci yang menyokong teknologi Nvidia G-Sync, pengguna boleh memilih sama ada panel HD Penuh 144Hz atau 4K. Laptop ini juga turut dilengkapi dengan pemprosesan Intel Core i9 dan pemecut pemacu storan Intel Optane.
Selain itu, ia juga didatangkan bersama NVIDIA GeForce GTX 1070 yang boleh dibuat overclock dengan aplikasi Acer PredatorSense. Pengguna mampu melakukan penetapan pencahayaan RGB menerusi papan kekunci dengan menggunakan aplikasi ini. Aplikasi ini juga menyediakan bacaan suhu laptop Predator Helios 500, justeru memudahkan pengguna membuat keputusan bila masa yang sesuai untuk membuat overclock dan juga untuk melaraskan kelajuan kipas pemprosesan.
Terlanjur bercerita mengenai suhu laptop ini, Acer Predator Helios 500 didatangkan bersama sepasang bilah logam Acer AeroBlade 3D dan lima paip haba bagi tujuan menguruskan pengaliran keluar masuk udara.
Untuk labuhannya pula, laptop gaming dari Acer ini mempunyai dua Thunderbolt 3 dengan satu DisplayPort dan HDMI 2.0 yang seterusnya membolehkan ianya menyokong sehingga 3 buah monitor luaran dalam satu-satu masa.
Tidak ketinggalan, sepasang pembesar suara dan sebuah subwoofer yang dipertingkatkan kualiti audionya dengan teknologi Acer TrueHarmony dan Waves MAXX. Acer Predator Helios 500 dijangkakan bakal hadir ke pasaran Malaysia tidak lama lagi dan setakat ini harganya masih lagi belum diketahui.