Belajar pengaturcaraan (programming) hari ini jauh lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan zaman ketika Cyberjaya masih lagi ladang kelapa sawit 20 tahun dulu. Waktu tu, jurusan berkaitan teknologi maklumat baru nak naik dan ada sesetengah pelajar yang tak mampu nak beli komputer terpaksa belajar menulis kod dengan pen dan kertas sahaja.

Sekarang ni nak belajar kod dah makin mudah. Banyak laman web yang menawarkan pembelajaran menulis kod atas talian secara interaktif. Apa yang menarik, segala ilmu yang disediakan ini boleh didapati secara percuma dan boleh belajar sendiri kalau rajin, seperti;

Udacity

UdacityUdacity merupakan laman pendidikan yang menggabungkan video-video pembelajaran dan ruangan soal jawab bagi meningkatkan pemahaman para pengunjungya yang ingin mempelajari kod. Ia amat sesuai bagi individu-individu yang malas nak baca panjang-panjang tapi ingin mendapatkan tips-tips menulis kod dari pakar-pakar yang berpengalaman dari serata dunia.

Pengunjung berpeluang untuk belajar kod melalui screencast oleh pakar-pakar mengikut subjek dan tajuk, lengkap dengan arahan cara kerjanya sekali. Malah, laman ini turut menawarkan soalan-soalan untuk dijawab oleh pengunjung bagi menilai tahap pemahaman sewaktu proses pembelajaran sedang berlangsung.

Walaupun info dan tips-tips yang disediakan oleh laman ini sangat berguna, ia bukanlah laman web yang sesuai bagi noobs programming memandangkan ia tidak disusun mengikut tahap-tahap kesukaran. Tetapi, bagi yang sudah agak biasa membuat pengaturcaraan, laman ini sangat sesuai untuk meningkatkan tahap kecekapan anda.

Scratch 2.0

ScratchJika anda rasa susah nak faham belajar dengan Udacity, mungkin anda boleh mencuba Scratch 2.0. Laman ini pada asalnya perisian offline yang disasarkan penggunaannya terhadap kanak-kanak yang ingin mempelajari asas pengaturcaraan.

Walaupun ia bukanlah laman pembelajaran pengaturcaraan secara khusus, ia mampu memberikan pemahaman asas yang kukuh terhadap pengunjungnya melalui pendekatan pengaturcaraan visual.

Laman ini memberikan contoh bagaimana sesuatu objek itu boleh dikawal mengikut kombinasi arahan-arahan tertentu dari pengguna dan ini merupakan perkara asas dalam mempelajari pengaturcaraan.

Khan Academy

Khan AcademyKhan Academy merupakan laman web pendidikan yang tidak asing lagi untuk mempelajari pelbagai jenis subjek. Subjek yang melibatkan pengaturcaraan turut tidak terkecuali dari disenaraikan di dalam ratusan kursus yang ditawarkan oleh laman web ini.

Ia merupakan tempat terbaik bagi yang sedang bertatih dalam mendalami ilmu pengaturcaraan. Tambahan pula, segala bahan-bahan pembelajaran berkualiti yang ditawarkan oleh Khan Academy ini adalah percuma.

SQLZOO

SQLZooStructured Query Language (SQL) adalah bahasa yang direka untuk kegunaan menyimpan dan mendapatkan semula data-data yang disimpan di dalam pangkalan data. Oleh itu, sesetengah orang cepat merasa bosan bila belajar SQL.

Walaubagaimanapun, SQLZOO cuba menjadikan suasana pembelajaran SQL lebih menarik dengan penggunaan antara muka interaktif dan juga smiley 🙂

Codecademy

CodecademyTanpa diragui, Codecademy merupakan laman web paling popular untuk belajar pengaturcaraan secara interaktif. Ia menjadi pilihan utama pelajar-pelajar pengaturcaraan kerana antara mukanya yang amat membantu serta kursus yang ditawarkan secara berperingkat.

Antara kursus yang ditawarkan oleh laman pendidikan ini adalah Web Fundamentals, PHP, JavaScript, jQuery, Python, Ruby dan API.

Dalam setiap pelajaran akan diterangkan kod-kod yang penting dan arahan penggunaannya. Di sini anda tidak perlu risau jika tersilap menulis kod kerana selain mesej error yang keluar, ia akan memberikan petunjuk bagaimana ia boleh diperbetulkan.

Kesimpulan

Diharapkan agar senarai-senarai yang diberikan di atas dapat membantu anda mempelajari pengaturcaraan. Bagi anda yang pernah belajar sendiri pengaturcaraan dan mempunyai laman-laman web pendidikan yang menarik untuk dikongsikan bersama kami, tinggalkan pesanan di dalam ruangan komen di bawah.

Tinggalkan komentar