Apabila kita berbicara tentang ancaman keselamatan komputer, virus adalah salah satunya. Ianya mampu memusnahkan sesebuah program atau keseluruhan sistem komputer berkenaan.
Virus pertama dihasilkan sekitar tahun 1970’an dan dikenali sebagai Creeper dan menjangkiti komputer-komputer di dalam rangkaian ARPANET. Pada tahun 1981, virus pertama yang dihasilkan oleh penggodam telah berjaya diwujudkan dan ianya disebarkan menerusi cakera liut komputer Apple.
Selain dari virus, turut memberikan ancaman terhadap keselamatan komputer termasuklah trojan, adware, cecacing (worms), malware dan sebagainya. Memandangkan ancaman dari virus sentiasa ada dan tidak pernah surut, kita perlu mengetahui jenis-jenis virus dan tanda-tanda apabila komputer anda dijangkiti.
Virus Pemastautin (Resident Virus)
Virus jenis ini ‘tinggal’ di dalam RAM komputer anda. Ianya mampu mengganggu operasi normal sistem dan juga membawa kepada kerosakan fail-fail dan program. Contoh virus-virus pemastautin yang popular termasuklah CMJ, Meve, MrKlunky, dan Randex.
Virus Multipartit (Multipartite Virus)
Virus jenis ini mudah merebak ke seluruh sistem komputer anda. Ianya bersifat mudah berjangkit dan boleh melakukan tindakan tanpa izin (unauthorized) terhadap sistem operasi, folder, dan program-program lain di dalam komputer. Selain itu, ianya juga berkeupayaan menjangkiti fail .exe dan boot sector.
Virus Tindakan Langsung (Direct Action Virus)
Virus tindakan langsung menyerang fail-fail tertentu – kebiasaannya .exe dan .com. Tujuan hidup virus ini adalah menyerupai dan menjangkiti fail-fail di dalam sesebuah folder. Virus ini pada kebiasaannya tidak memadamkan fail-fail atau memberikan kesan terhadap prestasi keseluruhan PC. Ia juga mudah dikesan dan dibuang oleh mana-mana perisian antivirus.
Perampas Pelayar (Browser Hijacker)
Virus jenis ini menjangkiti pelayar web anda bagi membawakan anda ke halaman web lain. Biasanya, jika anda menaipkan nama domain di dalam kotak alamat pelayar, Perampas Pelayar ini akan membuka sebilangan halaman-halaman web palsu yang mungkin menjejaskan sistem komputer anda. Walaubagaimanapun, kebanyakan pelayar web moden hari ini (kecuali Internet Explorer) mampu menyekat lencongan (redirect) ini.
Virus Tulis Ganti (Overwrite Virus)
Dari namanya sendiri, virus ini menulis ganti kandungan sesebuah fail, menjadikan kandungan asalnya hilang. Ia menjangkiti folder, fail dan juga program. Untuk memadamkan virus ini, anda perlu turut sama membuangkan fail-fail anda yang telah dijangkiti. Atas sebab itu, penting bagi anda untuk melakukan salinan sandar (backup copy) fail-fail anda.
Virus Penskripan Web (Web Scripting Virus)
Virus ini berlindung di sebalik sesetengah pautan, iklan, penempatan imej, video dan reka letak sesebuah laman web. Ia mungkin turut sama membawa kod-kod hasad (malicious) yang apabila anda klik, virus akan dimuat turun secara automatik atau membawa anda ke laman-laman web hasad (malicious).
Virus Boot Sector
Virus boot sector menjangkiti cakera liut. Ianya wujud ketika zaman penggunaan cakera liut amat penting untuk memulakan sistem komputer. Sungguhpun amat jarang untuk menemukan virus jenis ini pada masa ini, ianya boleh mendatangkan masalah pada komputer-komputer usang. Contoh virus jenis ini termasuklah Polyboot.B dan AntiEXE.
Virus Makro
Virus makro mensasarkan aplikasi-aplikasi dan perisian yang mengandungi makro. Virus jenis ini boleh melakukan operasi-operasi yang memberikan kesan terhadap prestasi sesebuah program atau perisian. Contoh virus jenis ini – O97M/Y2K, Bablas, Melissa.A, dan Relax.
Virus Direktori
Virus directori menukarkan haluan fail. Apabila anda menjalankan sesebuah program atau perisian yang telah dijangkiti dengan virus direktori, program virus ini turut sama berjalan pada bahagian latar (background). Selain itu, anda juga mungkin berdepan kesukaran untuk menjejak fail-fail aplikasi atau perisian yang asal sebaik sahaja virus ini mula merebak.
Virus Polimorfi (Polymorphic Virus)
Virus polimorfi menggunakan cara khusus pengekodan atau enkripsi setiap kali ianya menjangkiti sesebuah sistem. Melalui cara ini, perisian-perisian antivirus sukar untuk menjejaknya dengan menggunakan cara carian tanda (signature) virus berkenaan. Selain itu, virus ini juga mudah menyalin semula dirinya sendiri sebagaimana yang pernah dilakukan oleh virus-virus seperti Satan Bug, Elkern, Tuareg, dan Marburg.
Virus Penjangkit Fail
Virus ini turut sama menjangkiti fail-fal .exe atau program. Apabila anda menjalankan sesebuah program yang telah dijangkiti oleh virus ini, ia akan diaktifkan dan seterusnya menjadikan komputer anda lembab dan menyebabkan kerosakan-kerosakan yang lain. Kebanyakan virus-virus yang wujud adalah di dalam kategori ini.
Virus Enkripsi
Virus jenis ini menggunakan kod-kod hasad yang telah dienkripsikan bagi menyukarkan perisian antivirus menjejaknya. Ianya hanya boleh dijejak apabila ianya dinyahsulit sewaktu ia menyalinkan dirinya sendiri. Walaupun virus jenis ini tidak memadamkan fail-fail atau folder, ianya mampu menjejaskan prestasi sesebuah komputer.
Virus Pendamping (Companion Virus)
Virus jenis ini tidak mampu bertahan untuk hidup tanpa didampingi oleh fail-fail atau folder sedia ada. Bagi mencapai matlamatnya, fail yang mendampinginya perlu dijalankan bersama. Contoh virus jenis ini termasuklah, Terrax.1069, Stator, dan Asimov.1539.
Virus Rangkaian
Secara asasnya, virus ini disebarkan menerusi rangkaian kawasan setempat (LAN) dan menerusi internet. Virus-virus ini menyalinkan dirinya melalui sumber yang dikongsi seperti pemacu dan folder. Apabila virus rangkaian memasuki sesebuah komputer, ia akan mencari mangsanya yang berpotensi. Virus-virus rangkaian yang berbahaya adalah seperti Nimda dan SQLSlammer.
Virus Bukan Pemastautin (Nonresident Virus)
Virus bukan pemastautin menyalin dirinya melalui modul. Apabila sesebuah modul itu dijalankan, ia akan memilih satu atau lebih dari satu fail untuk dijangkitkan.
Virus Selinap (Stealth Virus)
Virus selinap mengelat perisian antivirus dengan menonjolkan dirinya sebagai fail atau program sebenar dan dengan memintas permintaannya ke sistem operasi. Sesetengah antivirus tidak boleh mengesannya. Apa yang peliknya, ia kadangkala membuangkan dirinya sendiri dari sistem komputer untuk sesuatu tempoh tanpa perlu dipadamkan.
Penjangkit Jarang (Sparse Infector)
Penjangkit jarang menggunakan teknik-teknik yang berlainan bagi meminimumkan risiko dikesan. Ia juga merupakan virus yang menjangkiti komputer secara “jarang-jarang”, menjadikan perisian antivirus berdepan kesukaran untuk mengesannya.
Virus Pengisi Ruang (Spacefiller Virus)
Juga dikenali sebagai virus “kaviti”, virus pengisi ruang melampirkan dirinya ke dalam sesebuah fail dan boleh mengubah permulaan sesebuah program atau mengubah kod enkripsinya. Ia juga melaksanakan teknik menyelinap bagi menyukarkan pengguna mengesan pertambahan kod-kod fail. Virus pengisi ruang yang popular antaranya adalah virus Lehigh.
Virus FAT
Secara asasnya, virus jenis ini boleh merosakkan sistem peruntukan fail – sistem yang membolehkan maklumat tentang fail seperti lokasi wujud.
Langkah Pencegahan
Bagi mencegah ancaman-ancaman seperti virus komputer ini membelenggu sistem komputer, perkara sebaiknya yang perlu diamalkan adalah sikap berhati-hati dalam mengendalikan fail-fail dan juga sepanjang aktiviti atas talian berlangsung.
Bagi pengguna Windows 10, mengemaskini sistem operasi ke versi terkini juga mampu mencegah serangan-serangan virus ini. Windows 10 juga turut dilengkapkan dengan Windows Defender secara percuma bagi meningkatkan keberkesanan pertahanan sistem komputer.
Selain itu, anda juga boleh memasang perisian-perisian antivirus yang terdapat di pasaran seperti:













