Ketika berdepan dengan wabak pandemik COVID-19, kebanyakan warga kerja menggunakan perkhidmatan persidangan video dalam talian seperti Zoom. Perkhidmatan berkenaan bagaimanapun, baru-baru ini telah dilaporkan tidak mempunyai enkripsi hujung-ke-hujung seperti yang diiklankan.
Portal The Intercept melaporkan Zoom menggunakan enkripsi TLS untuk fungsi persidangan videonya. Ini bermakna, data antara pengguna dengan pelayannya telah dienkripsi.
Hal ini sama seperti laman-laman web HTTPS yang mana pemilik pelayan masih lagi boleh mengakses ke data pengguna. Ini secara tidak langsung menjadikannya bukan enkripsi hujung-ke-hujung seperti enkripsi WhatsApp yang tiada siapa pun boleh mengakses data di antara penghantar dan penerima mesej.
Menurut jurucakap syarikat penyedia Zoom, pihaknya biat masa ini tidak dapat membolehkan enkripsi hujung-ke-hujung dilaksanakan untuk mesyuarat video dalam talian Zoom. Ini disebabkan oleh mesyuarat video dalam talian Zoom menggunakan kombinasi TCP dan UDP, tambah beliau lagi.
Namun begitu, fungsi permesejan berteks Zoom menggunakan enkripsi hujung-ke-hujung.
Zoom turut menyatakan pihaknya menggunakan data video persidangan dari pengguna untuk tujuan pengumpulan data teknikal asas bagi membolehkan perkhidmatannya dapat berfungsi. Antara yang dikumpulkan termasuklah alamat IP, jenis sistem operasi dan maklumat peranti.













