Zetrix AI Bhd baru-baru ini secara rasminya telah melancarkan model bahasa raya (large language model, LLM) patuh syariah pertama di dunia, NurAI yang boleh digunakan untuk institusi kewangan dan kerajaan.
Menurut pengarah bukan eksekutif Zetrix AI, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah, NurAI boleh digunakan dalam operasi institusi kewangan dan firma teknologi islamik, badan persijilan halal, dan pihak berkuasa syariah. Chatbot ini akan dilancarkan secara berfasa dan progresif.
NurAI merupakan produk ASEAN-China AI Lab, yang merupakan hasil kerjasama kerajaan. Zetrix bekerjasama dengan DeepSeek dari China untuk menghasilkan chatbot tersebut.
Selain itu, badan seliaan syariah turut dibentuk bagi memastikan NurAI sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Model ini ditawarkan sebagai alternatif buat umat Islam dari model-model buatan negara-negara Barat dan China kerana ia diselaraskan dengan prinsip-prinsip Islam dan sudut pandang negara-negara Selatan.
Zetrix menyatakan NurAI boleh menyediakan panduan dalam pelbagai perkara. Antaranya termasuklah sirah dan pengajian Al-Quran, serta isu-isu semasa seperti kesihatan dan kewangan. Sama seperti perkhidmatan aplikasi AI lain, NurAI turut menawarkan versi percuma yang terhad, dan langganan berbayar pada harga bermula dari RM20.
Pengasas Bersama dan Ketua Pembangunan AI Datuk Fadzli Shah turut meyakinkan projek chatbot ini dibangunkan secara bebas sesuai dengan tujuannya yang merupakan LLM patuh syariah. Pihaknya juga amat mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang dapat membantu bagi memberikan manfaat LLM patuh syariah ini.