Yahoo telah diarahkan untuk mematuhi perintah sulit mahkamah dengan menyediakan perisian yang boleh mengimbas emel-emel penggunanya berdasarkan maklumat-maklumat tertentu yang dibekalkan oleh agensi perisikan Amerika Syarikat.

Perkara ini dilaporkan oleh Reuters yang turut menyatakan terdapat tiga lagi sumber berkait rapat dengan perintah sulit berkenaan.

Menurut laporan, perisian terbabit telah dibina bagi pihak agensi berkenaan pada tahun 2015 dan tidak dapat dipastikan agensi mana yang terlibat sama ada NSA atau FBI. Ini kerana pada kebiasaannya permintaan NSA akan dibuat melalui FBI.

Para jurutera-jurutera Yahoo telah diarahkan supaya membina sebuah perisian yang boleh mendapatkan mesej-mesej yang mengandungi perkataan-perkataan tertentu dan boleh disimpan untuk diambil dari jarak jauh.

Namun, dalam seminggu selepas arahan berkenaan diterima, pasukan keselamatan dalaman Yahoo yang diketuai oleh Alex Stamos telah mengetahui program sulit berkenaan dan menyangkakan ia adalah pencerobohan oleh penggodam dari luar. Program berkenaan mempunyai kelemahan kerana membolehkan para penggodam lain mendapat akses ke dalam emel-emel simpanan pengguna. (Nota tambahan: Alex Stamos berhenti Yahoo pada pertengahan 2015 setelah mendapat tawaran kerja dengan Facebook. Tidak dapat dipastikan sama ada program sulit berkenaan telah menyebabkan beliau memilih untuk berhenti kerja dengan Yahoo)

Susulan dari itu, pihak Reuters telah cuba mendapatkan maklum balas dari NSA tetapi gagal.

Perintah sulit mahkamah terhadap syarikat-syarikat penyedia teknologi seperti ini bukanlah pertama kali dilaporkan. Terdahulu, perintah mahkamah FISA telah didedahkan kepada umum melalui Edward Snowden pada bulan Jun 2013. Antara terkandung di dalam pendedahan tersebut adalah bagaimana Verizon telah diperintahkan supaya menyerahkan metadata kesemua pelanggan-pelanggannya secara berkala.

Sesetengah pihak di Amerika Syarikat seperti Kesatuan Kebebasan Awam Amerika Syarikat mengecam tindakan ini dan menganggapnya sebagai tidak berpelembagaan.

Sumber berita diperoleh dari Reuters, Imej dari iStockphotos

 

Tinggalkan komentar