XOX telah memperkenalkan dua pelan prabayar baharunya yang dikenali sebagai WAWA 18 dan WAWA 35 di bawah jenama ONEXOX. Pelan dengan tempoh sah selama 30 hari ini ditawarkan pada harga RM18 bagi WAWA 18 dan RM35 bagi WAWA 35.
Berbeza dengan pelanggan prabayar ONEXOX baharu yang biasanya menerima tempoh sah selama 28 bulan sebagai tawaran selamat datang, pelanggan WAWA tidak layak untuk menerima penawaran tersebut.
Sebaliknya, mereka mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh sah tersebut dengan membeli tempoh sah untuk enam bulan pada harga RM18 atau untuk 12 bulan tempoh sah pada harga RM25.
Pelan WAWA 18 diiklankan dengan menawarkan data sebanyak 18GB dan 100 minit panggilan. Manakala WAWA 35 pula hadir dengan 35GB data dan 300 minit panggilan.
Bagaimanapun pernyataan mengenai kuota data tersebut agak mengelirukan kerana pada hakikatnya hanya pelanggan baharu sahaja menerima data tambahan masing-masing 8GB dan 5GB berdasarkan pelan. Untuk pelanggan sedia ada pula bagi pelan WAWA 18 akan menerima 10GB data dan bagi pelan WAWA 35 pula akan menerima 30GB data. Had kelajuan maksimum internetnya juga dihadkan pada 3Mbps sahaja. Kuota hotspotnya pula adalah sama dengan kuota data yang diperuntukkan mengikut pelan masing-masing.

Tambahan data bagi pelanggan baharu juga hanya sah digunakan dari 2 Ogos hingga 31 Oktober 2022. Jika anda kehabisan kuota, anda boleh memilih sama ada memperbaharui pelan WAWA anda atau membeli add-on pada RM2 untuk 500MB hinggalah RM8 untuk 5GB menambah kuota internet.
WAWA 18 dan WAWA 35 hanya boleh dibeli dari wakil pengedar XOX dan ONEXOX yang sah dan juga kedai jualan rasminya. Menurut laman soalan lazimnya, ia akan ditawarkan di dalam kedai dalam taliannya tidak lama lagi. Anda boleh membeli pek SIM permulaannya pada harga RM10 yang turut hadir dengan kredit sebanyak RM5.30 di dalamnya.













