Xiaomi telah mengumumkan model baharu televisyen pintar keluarannya tahun ini untuk siri TV A dan TV A Pro. Kedua-duanya didatangkan dengan pilihan 43-inci, 55-inci, dan 65-inci, serta pilihan 75-inci untuk siri Pro. Turut diumumkan bersama barisan produk-produk baharu monitor 4K, vakum-vakum robot dan pembesar suara mudah alih.
TV-TV baharu berkenaan kesemuanya menyokong resolusi UHD 4K, HDR10 dan kadar penyegaran semula 120Hz. Dari segi audionya pula, disediakan sokongan Dolby Audio dan DTS:X. Siri Pro menawarkan ciri tambahan melalui penggunaan teknologi paparan QLED, liputan warna gamut DCI-P3 94% dan DTS: Virtual X. Perisian Google TV digunakan bersama-sama Xiaomi Home App untuk membolehkan TV berkenaan menjadi hab untuk tetapan kediaman pintar anda.
Turut diperkenalkan bersama, Xiaomi 4K Monitor A27Ui yang menawarkan skrin 4K 27-inci. Paparan IPS padanya memberikan sudut pandangan seluas 178 darjah, serta menawarkan sokongan HDR10 dan liputan warna gamut DCI-P3 95%. Selain menyokong output video HDMI dan DisplayPort, monitor ini juga mempunyai port USB-C yang boleh menyokong pengecasan berbalik 90W serta output video dan data.
Vakum-vakum robot baharu juga diperkenalkan melalui Xiaomi Robot Vacuum H40, S40, dan S40C. H40 dan S40 menawarkan kuasa sedutan 10,000Pa, manakala S40C pula menawarkan kuasa pada 5,000Pa sahaja. Kapasiti bateri untuk model-model utama siri berkenaan mempunyai 5,200mAh yang boleh beroperasi selama 180 minit, dengan model S40C pula mempunyai 2,400mAh. Model H40 dan S40 dibezakan pada siri H tersebut mempunyai tapak stesen yang boleh dijadikan tempat untuk mengosongkan beg habuknya.
Melengkapkan barisan produk-produk baharu ini, Xiaomi memperkenalkan pembesar suara mudah alih Sound Party. Pembesar suara dengan output 50W ini mempunyai penarafan IP67 dengan waktu main sehingga 26 jam. Anda juga boleh menyambungkan secara berantaian (daisy-chain) dengan pembesar suara lain yang sama modelnya untuk pengalaman audio berstereo.
Harga Xiaomi TV A dan TV A Pro di Malaysia
Siri Xiaomi TV A dijual pada harga RM1,299, RM1,999 dan RM2,799 masing-masing untuk model 43-inci, 55-inci dan 65-inci. Bersempena promosi pelancarannya, ketiga-tiga model televisyen berkenaan dijual pada harga RM1,099, RM1,599 dan RM2,299.
Begitu juga untuk siri Xiaomi TV A Pro yang dijual pada harga RM1,499, RM2,399, RM2,999 dan RM4,399 masing-masing untuk model 43-inci, 55-inci, 65-inci dan 75-inci. Siri ini juga ditawarkan promosi dengan masing-masing kini berharga RM1,199, RM1,799, RM2,499 dan RM3,499.
Harga Xiaomi 4K Monitor A27Ui dan Xiaomi Sound Party
Seterusnya Xiaomi 4K Monitor A27Ui, dijual pada harga RM1,399 dengan promosinya kini pula RM1,099. Untuk vakum robot pula, H40, S40 dan S40C harga biasanya adalah RM1,799, RM1,099 dan RM799 dan untuk promosi ini ia dijual pada harga RM1,099, RM769 dan RM609 masing-masing.
Kesemua produk ini boleh didapati di pasaran sekarang kecuali pembesar suara mudah alih Sound Party yang berharga RM349, dinyatakan akan datang tidak lama lagi.