Pemilik Power Bank Xiaomi 33W 20,000mAh (kabel terpasang) dengan nombor model PB2030MI keluaran antara Ogos hingga September 2024 di Malaysia diminta supaya menghantar untuk penggantian semula unit berkenaan.
Ia berikutan notis yang dikeluarkan oleh Xiaomi Malaysia mengenai risiko kebakaran berkaitan kecacatan perkakasan pada unit. Menurutnya, sekelompok kecil Power Bank Xiaomi 33W 20,000mAh berisiko rosak dalam keadaan tertentu mengakibatkan bateri terlampau panas hingga boleh menjadi punca kebakaran.
Walaupun jumlah insiden yang dilaporkan adalah amat kecil, Xiaomi telah memulakan panggilan semula produk bagi mengekalkan jaminan kualiti. Turut dijelaskan masalah ini berpunca dari bahan mentah yang dibekalkan ketika proses pengeluaran.
Pemilik yang terkesan dinasihatkan supaya memulangkan unit tersebut kembali kepada Xiaomi. Untuk semakan, pemilik boleh memasukkan nombor siri di halaman rasmi yang disediakan. Xiaomi menyatakan lokasi kod nombor siri mungkin berbeza di antara versi produk dan boleh diketemukan pada bahagian belakang peranti.

















