Xiaomi sedang mempersiapkan untuk melancarkan trio Xiaomi 17 yang terdiri daripada Xiaomi 17, 17 Pro dan 17 Pro Max di China pada Khamis, 25 September 2025 jam 7 malam.
Ketiga-tiga model siri berkenaan turut dikongsikan secara rasmi buat pertama kali dengan Xiaomi 17 menampilkan paparan rata OLED 6.3-inci bernisbah aspek 19.6:9 dan bezel berukuran 1.18mm.
17 Pro mempunyai spesifikasi skrin yang sama dan ketiga-tiga model telefon pintar ini menggunakan teknologi skrin pendarcahaya (luminescence). Menurut Xiaomi, paparan ini mampu menawarkan kecekapan pendarcahaya tertinggi di dalam industri pada 82.1 cd/A.
Manakala Xiaomi 17 Pro Max pula pertama kali memperkenalkan tindanan piksel RGB susunan bebas baharu yang menghapuskan masalah “pixel pooling”. Ia juga kurang 26% penggunaan tenaga berbanding paparan 2K biasa.
Xiaomi turut mendedahkan model 17 Pro dilengkapkan dengan bateri Jinshajiang baharu. Ia menggunakan teknologi kemasan bentuk-L bertindan dengan kandungan silikon tinggi 16% dan menyokong pengecasan berwayar 100W.
Ketiga-tiga telefon pintar ini dijangka menggunakan pemprosesan baharu Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan antaramuka Xioami Hyper OS 3 berasaskan Android 16.