Siri Xiaomi 17 secara rasminya telah dilancarkan di pasaran China pada masa yang hampir sama dengan pelancaran siri Xiaomi 15T di pasaran Malaysia. Barisan telefon pintar mercu baharu Xiaomi ini menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang juga baharu sahaja dilancarkan.

Bagi model paling asas siri ini, Xiaomi 17 menampilkan paparan AMOLED 6.3-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 3,500 nits. Sama seperti model sebelumnya, ia dilengkapkan dengan pengimbas cap jari dalam paparan ultra sonik serta penarafan IP68 untuk kerintangan debu dan air.

Bersama-sama pemprosesan Qualcomm baharu tersebut, Xiaomi 17 juga didatangkan dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 512GB. Ia juga dimuatkan dengan bateri 7,000mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 100W dan nirwayar 50W.

Untuk fotografi, ia mempunyai tri-kamera 50MP dengan sensor utama, ultra-lebar dan telefoto. Di hadapan pula disediakan sebuah kamera 50MP.

Seterusnya untuk dua lagi model Pro di dalam siri ini, ia menawarkan spesifikasi yang hampir sama kecuali untuk saiz dan baterinya. Kedua-duanya menampilkan paparan AMOLED 120Hz dengan kecerahan puncak 3,500 nits. Bagaimanapun paparan Pro berukursan 6.3-inci dengan Pro Max lebih besar dengan 6.9-inci.

Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, kedua-dua model Pro mempunyai skrin kedua. Untuk Xiaomi 17 Pro ia mempunyai skrin kedua bersaiz 2.7-inci, manakala 17 Pro Max pula bersaiz 2.9-inci.

Selain dariapda fungsi-fungsi am seperti memaparkan notifikasi, jam dan sebagainya, skrin ini juga boleh digunakan untuk memainkan permainan. Atas sebab itu, Xiaomi turut memperkenalkan casing ‘retro gaming’ bagi tujuan tersebut.

Di dalamnya, kedua-dua peranti ini hadir dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Model Pro mempunyai bateri berkapasiti 6,300mAh dengan pengecasan berwayar 100W dan nirwayar 50W. Pro Max pula mempunyai sokongan pengecasan yang sama dengan kapasiti bateri yang lebih besar 7,500mAh.

Untuk fotografi, peranti ini menampilkan kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP, dan kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 5x. Pilihan warnanya terdiri daripada putih, hitam, hijau dan ungu. Sama seperti model standardnya, paparan model-model Pro ini juga dilengkapkan dengan pengimbas cap jari selain keseluruhan telefon pintar ini mempunyai penarafan IP68.

Harga Xiaomi 17, Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max

Screenshot

Ketiga-tiga model ini menggunakan sistem operasi Android 16 melalui antaramuka Xiaomi HyperOS 3. Di China, siri Xiaomi 17 dijual pada harga:

  • Xiaomi 17 – dari CNY4,499 (~RM2,663)
  • Xiaomi 17 Pro – dari CNY4,999 (~RM2,959)
  • Xiaomi 17 Pro Max – dari CNY5,999 (~RM3,551)

Tinggalkan komentar