Utama Android Xiaomi Xiaomi 15T dan 15T Pro kini di Malaysia, Harga dari RM1,899

Xiaomi 15T dan 15T Pro kini di Malaysia, Harga dari RM1,899

36
0

Siri Xiaomi 15T kini secara rasminya di Malaysia tidak lama selepas ia dilancarkan secara global. Sebagaimana model terdahulunya, siri ini menawarkan dua model yang terdiri daripada Xiaomi 15T dan Xiaomi 15T Pro.

Model Pro menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 9400+ yang bergandingan dengan RAM LPDDR5X RAM 12GB dan storan UFS 4.1 berkapasiti dari 256GB, 512GB dan 1TB.

Xiaomi 15T Pro

Paparan ratanya merupakan AMOLED 6.83-inci beresolusi 2,772 x 1,280 piksel dengan ketumpatan piksel 447 ppi. Bersama-sama kadar penyegaran semula dinamik 144Hz, paparannya ini juga mempunyai kadar pensampelan sentuhan 480Hz. Paparan yang menyokong warna gamut DCI-P3, 68 billion warna serta sesuai dengan HDR10+ dan Dolby Vision ini dilindungi oleh Corning Gorilla Class 7i.

Tetapan Kamera Summilux

Kamera-kameranya masih lagi dibangunkan secara bersama Leica dengan tetapan tiga lensa Vario-Summilux. Kamera utamanya merupakan 50MP dengan sensor pengimejan Light Fusion 900 dan Optical Image Stabilisation (OIS). Selain itu, terdapat juga kamera telefoto 50MP dengan OIS dan kamera ultra-lebar 12MP dengan medan penglihatan 120°. Untuk swafoto, disediakan sebuah kamera bawah paparan 32MP f/2.2.

Telefon pintar dengan penarafan kerintangan debu dan air IP68 ini juga dilengkapkan dengan bateri 5,500mAh yang menyokong pengecasan berwayar HyperCharge 90W dan nirwayar HyperCharge 50W.

Xiaomi 15T

Seterusnya untuk yang standard, Xiaomi 15T menggunakan pemprosesan berbeza, MediaTek Dimensity 8400-Ultra. RAM dan storannya sama seperti model Pro yang masing-masing menggunakan LPDDR5X dan UFS 4.1.

Paparannya juga hampir sama dengan Pro iaitu AMOLED 6.83-inci beresolusi 2772 x 1280 piksel berketumpatan 447ppi, dan kadar pensampelan sentuhan 480Hz. Skrinnya ini juga dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 7i dengan sokongan untuk warna gamut DCI-P3, HDR10+, dan Dolby Vision. Cuma kadar penyegaran semula skrinnya sahaja yang sehingga 120Hz.

Untuk fotografi, 15T juga mempunyai tetapan tri-kamera Leica Summilux. Namun kamera utama 50MP padanya menggunakan sensor Light Fusion 800. Modul kamera-kameranya di belakangnya ini juga menyediakan sebuah kamera telefoto 50MP dan kamera ultra-lebar 12MP. Kamera hadapan pula sama dengan model Pro iaitu 32MP.

Kapasiti baterinya juga sama 5,500mAh, akan tetapi dibezakan pada kadar pengecasan berwayar HyperCharge yang lebih rendah pada 67W dan tanpa pengecasan nirwayar.

Harga Xiaomi 15T dan Xiaomi 15T Pro di Malaysia

Siri telefon pintar Xiaomi baharu ini boleh didapati dengan pilihan warna Rose Gold, Grey dan Black untuk Xiaomi 15T, dan Mocha Gold, Grey dan Black untuk 15T Pro. Anda boleh mendapatkannya pada harga seperti berikut:

  • Xiaomi 15T Pro 12GB + 1TB – RM3,499
  • Xiaomi 15T Pro 12GB + 512GB – RM2,999
  • Xiaomi 15T Pro 12GB + 256GB – RM2,699
  • Xiaomi 15T 12GB + 512GB – RM2,199
  • Xiaomi 15T 12GB + 256GB – RM1,899

Tinggalkan komentar