Telefon pintar mercu Xiaomi 13 dan antaramuka baharu MIUI 14 pada asalnya dijadualkan pada 1 Disember, namun telah ditunda tarikhnya pada saat-saat akhir.
Kini, Xiaomi telah menjadualkan semula tarikh pelancaran baharu pada 11 Disember 2022 jam 7 malam di China.
Xiaomi 13 merupakan telefon pintar mercu yang padat dengan spesifikasi mantap melalui penggunaan cipset Snapdragon 8 Gen 2. Ia juga dilihat akan mempunyai sisi yang rata tanpa panel skrin melengkung berdasarkan imej pengolokannya yang tertiris.
Imej yang dikongsikan di internet juga memperlihatkan Xiaomi 13 Pro akan mempunyai tata susunan kamera yang sama. Namun tiada lensa periskop disediakan pada model Pro berkenaan.
Bagaimanapun, model Pro tersebut menyediakan satu kamera 50MP dengan sensor 1″, jenis yang sama diperkenalkan pada Xiaomi 12S Ultra.
Tidak banyak maklumat yang diketahui tentang MIUI 14. Berdasarkan apa yang diketahui setakat ini, antaramuka berkenaan akan hadir dengan ciri anti-scammer, penambahbaikan pada notifikasi, dan pengecaman teks di dalam aplikasi Gallery terbina dalam peranti Xiaomi.





















