Nampaknya, Microsoft tidak mahukan penggunanya menggunakan pelayar web lain selain dari Microsoft Edge di dalam sistem operasi baharunya, Windows 11. Berdasarkan laporan, Microsoft akan membuatkan penetapan pelayar lalai (default) selain dari Edge menjadi lebih sukar.

Menurut The Verge, Microsoft telah menukar kaedah prom (prompt) sistemnya kepada pengguna jika ingin menukarkan aplikasi lalai. Seperti di dalam Windows 10, satu pertanyaaan akan diajukan apabila anda memasang pelayar baharu seperti Chrome, Firefox, Opera dan sebagainya jika ingin menjadikannya sebagai pelayar lalai.

Pada Windows 11 bagaimanapun, pengguna akan perlu menandakan pada ruangan “Always use this app” yang diletakkan di bahagian bawah prom terbabit.

Jika pengguna tidak menandakan pada ruangan tersebut, pengguna perlu melakukan penetapan secara lalai bagi setiap jenis fail yang berkaitan penggunaan pelayar web. Ia merangkumi fail-fail dari jenis HTM, HTML, PDF, SHTML, SVG, WEBP, XHT, XHTML, FTP, HTTP, dan HTTPS.Windows 11 default browser

Langkah yang diperkenalkan oleh Microsoft ini telah menerima reaksi negatif dari sebilangan komuniti pengguna dan juga pembangun pelayar-pelayar web lain. Tindakan ini juga dilihat sebagai satu ironi. Ini kerana sebelum ini Microsoft mendakwa platform yang diperkenalkannya merupakan yang paling terbuka di pasaran.

Tidak dapat dipastikan sama ada Microsoft akan mengubah pendiriannya kelak apabila menerima reaksi kurang memberangsangkan dari pengguna-penggunanya.

Terlalu memaksa terhadap sesuatu kadangkala boleh menyebabkan orang akan menjadi lebih meluat.

Tinggalkan komentar