Windows 11 telah mula dilancarkan pada 5 Oktober lalu dan sistem operasi ini tidak sunyi dengan pelbagai isu yang menyelubunginya sejak dari itu.
Terdahulu, Microsoft telah mengesahkan mengenai masalah prestasi yang dihadapi oleh peranti-peranti AMD yang menggunakan Windows 11. Pembaikan untuk masalah tersebut bagaimanapun telah pun hadir menerusi kemaskini terbaru.
Lanjutan dari itu, Microsoft juga telah mengesahkan laporan penggunaan memori yang tinggi disebabkan oleh Explorer.exe (File Explorer).
Malah, turut timbul masalah lain pula yang menyebabkan ralat ‘context menu’ menjadi amat perlahan. Ralat ini didapati berkaitan dengan perubahan yang dibuat pada File Explorer dan ‘context menu’. Bagaimanapun, pembaikan bagi masalah ini sedang diusahakan dan kini sedang diuji menerusi Windows Insider.
Masalah Context Menu perlahan di dalam Windows 11
Di dalam Windows 10 atau Windows versi yang lebih lama, ‘context menu’ boleh menjadi amat panjang apabila dipaparkan hingga memberikan kesan terhadap prestasinya.
Terdapat pelbagai pilihan menu yang disediakan di dalam ‘context menu’ yang kebanyakannya tidak pernah pun digunakan oleh kebanyakan pengguna. Selain itu, timbul pula masalah prestasi di dalam ‘context menu’ ini dijalankan dari dalaman File Explorer.
Microsoft telah mewujudkan pengalaman ‘context menu’ baharu untuk Windows 11. Untuk itu, pilihan yang paling penting atau paling kerap digunakan akan muncul sebagai butang pada sebelah atas menu.
Bagaimanapun, ‘context menu’ baharu di dalam Windows 11 ini mempunya ralatnya yang tersendiri dan Microsoft sendiri pun sedar mengenai perkara ini.
‘Context menu’ baharu yang amat lancar apabila digunakan pada peranti dengan paparan sesentuh ini mempunyai ralat yang menyebabkan kelewatan respon aapbila anda klik-kanan pada mana-mana bahagian desktop atau Explorer. Kelewatan ini amat ketara pada peranti berspesifikasi rendah dan pengguna boleh membetulkan masalah ini dengan ‘restart’ Explorer.exe.
Menerusi Build 22478, Microsoft telah mengesahkan akan memperkenalkan kemaskini pembaikan berkaitan masalah ‘context menu’ lembab ini.













