Adakah anda sering bertelagah dengan ahli WhatsApp Group anda berkenaan di mana tempat lepak minum malam ini atau di mana tempat percutian keluarga hujung bulan ini? Jangan bimbang, WhatsApp memberikan penyelesaian buat anda melalui cara demokrasi terpimpin iaitu dengan mengadakan fungsi undian di dalam Group.
Menurut laporan dari WABetaInfo, platform permesejan popular ini dilaporkan sedang membangunkan kaedah undian di dalam kumpulan borak WhatsApp. Fungsi ini akan membolehkan anda membuat soalan untuk dijawab oleh ahli kumpulan anda dengan memasukkan elemen mengundi jawapan.
Peincian mengenai pelaksanaan fungsi baharu ini bagaimanapun masih lagi belum jelas memandangkan ia masih lagi diperingkat pembangunan. Salah satu aspek yang diketahui buat masa ini adalah ciri enkripsi hujung-ke-hujung yang disediakan bagi fungsi undian dan jawapan tersebut.
Tidak dapat dipastikan berapa lama fungsi ini akan hadir menemui pengguna WhatsApp. Sebagai contoh perbandingan, fungsi mesej menghilang yang diperkenalkan sebelum ini mengambil masa dua bulan diperingkat ujian beta sebelum ia diperkenalkan secara rasmi kepada pengguna umum. Manakala ciri sandaran berenkripsi pula mengambil masa sehingga tiga bulan.













