WhatsApp kian mengorak langkah ke arah fungsi kolaborasi dengan memperkenalkan keupayaan untuk menjadualkan panggilan dalam panggilan berkumpulan. Anda boleh menemukan pilihan “Schedule Call” dari butang “+” di dalam tab Panggilan (Calls).
Ia membolehkan anda menjemput individu, atau kumpulan-kumpulan untuk maklumat awal penyertaan. Tab Panggilan ini juga akan menunjukkan panggilan akan datang dan siapa yang akan hadir.
Juga disediakan penambahbaikan pengurusan panggilan untuk individu yang menjadi “pencipta panggilan (call creator)”. Pengguna yang mencipta pautan panggilan dan menghantarnya akan diberitahu apabila seseorang yang menyertai panggilan melalui pautan tersebut.
WhatsApp juga menyediakan fungsi memberikan reaksi, mirip platform-platform telesidang yang biasa digunakan seperti Zoom, Google Meet, Microsoft Teams dan sebagainya. Anda juga boleh memberikan respon “angkat tangan” jika ingin meminta izin untuk mencelah perbualan.
Fungsi ini telah pun diterbitkan kepada pengguna-pengguna WhatsApp di seluruh dunia secara berperingkat.