WhatsApp telah melancarkan fungsi baharu yang membenarkan pengguna mendengar mesej suara sebelum menghantarkannya. Ia boleh digunakan untuk memastikan anda dapat menyampaikan mesej dengan lebih jelas kepada penerima.
Fungsi ini ditawarkan ke seluruh platform WhatsApp merangkumi iOS, Android, desktop dan juga web. Anda boleh mendapatkan fungsi ini pada chat individu dan berkumpulan dengan melakukan luncuran ke atas (sliding up) selepas anda mengetik butang mikrofon.
Sebaik sahaja anda selesai, tekan pada butang henti dan tekan mainkan untuk mendengarnya. Anda boleh memilih untuk memadam atau menghantarkannya, bergantung pada tahap kepuasan hati anda.
They’re not mistakes, they’re rehearsals. Now you can preview your voice messages before you hit send. pic.twitter.com/ohnEVrGTvD
— WhatsApp (@WhatsApp) December 14, 2021
WhatsApp memberikan tumpuan terhadap pembangunan mesej audionya sejak beberapa tahun kebelakangan ini melalui pelbagai pembaharuan yang telah diperkenalkannya. Selain fungsi-fungsi sedia ada yang telah diperkenalkannya, beberapa fungsi baharu juga sedang dibangunkan seperti transkripsi audio.
Aplikasi di bawah naungan Meta ini juga sedang menambah fungsi jeda (pause) dan terus main (resume) untuk anda menyambung nota suara panjang secara berterusan.
Dalam pada masa yang sama, WhatsApp juga sedang membangunkan pemain mesej suara sejagat untuk anda mendengar atau menjedakan audio berkenaan di mana-mana sahaja di dalam aplikasi berkenaan walaupun di dalam ruangan chat berlainan.













